Anda di sini

Bayi maut terkena peluru sesat di Rio

Advertisement

Polis berbalas tembakan dengan kumpulan dadah dalam keganasan berterusan

 Anggota tentera meronda semasa operasi di favela Vila Kennedy di Rio de Janeiro, kelmarin. — Gambar AFP
TEGANG: Anggota tentera meronda semasa operasi di favela Vila Kennedy di Rio de Janeiro, kelmarin. — Gambar AFP

RIO DE JANEIRO: Kematian seorang bayi lelaki berusia setahun gara-gara terkena peluru sesat semasa kejadian tembak menembak mencetuskan ketakutan baharu di Rio de Janeiro kelmarin, yang masih terkejut dengan pembunuhan kejam seorang aktivis hak asasi manusia.

Bayi terbabit antara sekurang-kurangnya tiga orang awam yang terkorban ketika salah satu kumpulan dadah ganas di Rio terlibat dalam pertempuran bersenjata dengan pihak polis di sebuah favela yang sesak, komuniti kelas buruh yang berbahaya dan tempat kediaman hampir suku daripada populasi Rio.

Pertumpahan darah pada lewat Jumaat di favela Alemao selepas kejadian tembakan gaya pembunuhan pada Rabu lepas membabitkan Marielle Franco, ahli majlis perbandaran yang terkenal dengan bantahan lantangnya menentang kekejaman polis.

Pembunuhan Franco mencetuskan bantahan jalanan besar-besaran pada Khamis, menunjukkan kemarahan di bandar di mana pihak tentera mengawal keselamatan sebulan lepas dengan misi menamatkan ketegangan.

Datuk Bandar Marcelo Crivella kelmarin mengulangi jaminan keadaan akan menjadi lebih baik.

Kami ingin menamatkan keadaan di mana kanak-kanak terkorban akibat peluru sesat dalam komuniti,” jelas beliau ketika melawat favela Vila Kennedy, di mana jeneral yang menguruskan polis Rio menumpukan kempen mereka.

Kami ingin menamatkan tragedi anggota majlis perbandaran kami yang ditembak mati pada jam sembilan malam dan anak perempuannya yang tidak akan pernah melihatnya pulang ke rumah lagi,” menurut Crivella.

Namun kenyataan itu gagal memujuk ibu bapa kepada bayi lelaki yang maut di dalam kereta sorong bayi semasa insiden petang Jumaat lepas di favela Alemao.

Pertempuran bermula ketika kumpulan dadah melepaskan tembakan ke arah pihak polis dari dalam jip putih yang dicuri, menurut pihak polis dalam satu kenyataan.

Pihak berkuasa membalas tembakan, menangkap seorang daripada tiga suspek serta merampas kenderaan yang penuh dengan kesan tembakan, sepucuk pistol dan selaras raifal serangan.

Bagaimanapun, peluru sesat menyebabkan seorang wanita, seorang lelaki dan budak lelaki terbunuh, turut mencederakan ibunya dan seorang kanak-kanak, menurut polis.

Ayahnya, Fabio Antonio da Silva, menyatakan anak lelakinya menjadi mangsa kepada sebuah kerajaan yang tidak mempunyai rancangan lain selain membanteras keganasan.

Adakah peluru akan menyelesaikan situasi dalam negara kita?” tanya beliau dalam Globo TV.

Keganasan ini sudah d luar kawalan dan kerajaan kita tidak mempunyai satu penyelesaian.

Anak lelaki saya baharu berusia setahun, namun nyawanya telah ditamatkan oleh satu sistem yang menggagalkan negara kita,” tegasnya lanjut.

Dalam banyak favela, beberapa kumpulan yang beroperasi dengan kekebalan, membawa raifal serangan secara terbuka, menubuhkan kumpulan perlindungan bagi penduduk tempatan dan merekrut kanak-kanak sebagai pengedar dadah.

Bagaimanapun, pihak polis seringkali dituduh organisasi hak asasi manusia sebagai bersikap lepas tangan dan pada masa-masa tertentu melakukan pembunuhan tanpa kehakiman.

Selepas keganasan terbaharu, pihak polis menegaskan dalam kenyataan berasingan bahawa pihak berkuasa yang terlibat telah disoal siasat dan senjata mereka dirampas untuk dianalisis.

Beberapa ejen sedang melihat saksi dan rakaman kamera keselamatan,” menurut polis.

Bagaimanapun, kepercayaan orang awam terhadap integriti polis Rio berada di tahap terbawah berikutan pembunuhan Franco pada Rabu lepas, yang mana sejurus sebelum kematiannya menuduh satu unit polis sebagai bertindak sebagai skuad kematian.

Pada lewat Jumaat, komander tertinggi tentera Jeneral Eduardo Villas Boas menyatakan kematian Franco hanya menambahkan lagi keperluan bagi campur tangan pihak tentera bagi keselamatan Rio.

Satu tugas yang sangat sukar, untuk memenangi semula hati dan jiwa rakyat Brazil,” jelas beliau. — AFP

Advertisement