Anda di sini

Lelaki tular di laman sosial dipenjara 30 bulan, miliki MyKad orang lain

Advertisement
 Rolly (tengah) dikenakan penjara 30 bulan kerana memiliki kad pengenalan orang lain.
TULAR: Rolly (tengah) dikenakan penjara 30 bulan kerana memiliki kad pengenalan orang lain.

KOTA KINABALU: Seorang lelaki yang tular di laman sosial kerana cuba menyamun seorang wanita, dikenakan penjara 30 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, kerana memiliki kad pengenalan orang lain.

Rolly Alkaris, 30, dijatuhkan hukuman itu oleh Majistret Cindy Mc Juce Balitus, selepas mengaku bersalah mengikut Seksyen 25 (1) (o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

Hukuman yang diperuntukkan, penjara maksimum tiga tahun atau denda antara RM3,000 hingga RM20,000, atau dengan kedua-duanya sekali.

Tertuduh didapati memiliki MyKad atas nama Rolles Benjamin bernombor 950208-12-6577, pada 4 Mac jam 9.10 malam, di hadapan kedai Pick N Pay, Kepayan Ridge, di sini.

Sebelum ini, tular di Facebook, menerusi rakaman video litar tertutup, tertuduh dilihat dari arah belakang mengambil beg tangan seorang wanita sehingga menyebabkannya terjatuh.

Bagaimanapun, seorang anggota polis yang dibantu orang awam berjaya menangkap tertuduh, lalu menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Hasil siasatan, tertuduh seorang warga asing yang tidak memiliki sebarang dokumen diri, namun memiliki kad pengenalan orang lain.

Mahkamah memerintahkan Rolly menjalani hukuman bermula dari tarikh tangkap dan dirujuk ke Jabatan Imigresen setelah tamat tempoh penjara.

Advertisement