Anda di sini

Ops Gasak Laut di Sandakan tahan 66 warga asing

Advertisement

SANDAKAN: Seramai 66 warga asing ditahan menerusi operasi bersepadu Ops Gasak Laut di dua perkampungan atas air dekat sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Azhar Mohd Hamin berkata warga asing berkenaan ditahan di Kampung Tabangka 1 dan Tabangka 2 atas kesalahan dokumen pengenalan diri dibawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963).

Katanya operasi yang bermula jam 8.30 pagi hingga 2 petang itu  membabitkan pegawai dan anggota polis daerah ini dan dari  Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), Unit Tindakan Khas, Polis Marin, Jabatan Imigresen dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Operasi bersepadu itu bertujuan mencegah jenayah dan membanteras pendatang asing tanpa izin di kawasan pulau di daerah ini, katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Menurutnya seramai 79 orang diperiksa dalam operasi itu dan selepas proses dokumentasi, 66 warga asing ditahan untuk siasatan lanjut.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada masyarakat yang sering menyalurkan maklumat dalam membantu pihak polis  memerangi jenayah dan berharap kerjasama ini akan berterusan. — Bernama

Advertisement