Anda di sini

Harith Iskander gembira industri lawak semakin berkembang dan diterima

Advertisement
 Harith beraksi secara spontan semasa sidang media bersama beliau sempena program Siri Jelajah Komedi dalam #KitaOK Jelajah Komedi Harith Iskander ‘Live’ 2018 di Kuching.
SPONTAN: Harith beraksi secara spontan semasa sidang media bersama beliau sempena program Siri Jelajah Komedi dalam #KitaOK Jelajah Komedi Harith Iskander ‘Live’ 2018 di Kuching.

SESUAI dengan gelaran ‘Individu Paling Kelakar Di Dunia’, perasaan ceria muncul secara spontan sebaik penulis bersua muka buat pertama kali dengan pelawak popular negara, Harith Iskander.

Harith yang didatangkan khas oleh penaja utama Celcom dalam program #KitaOK Jelajah Komedi Harith Iskander ‘Live’ 2018 bersiaran langsung bersama peminat di Kuching, Sarawak malam kelmarin, sebelum ke destinasi seterusnya di Kota Kinabalu.

Topik perbualan antara media dengan Harith berlangsung dalam suasana santai dan agak ‘kecoh’ apabila soal jawab turut diselang-seli dengan lawak spontan membuatkan rakan media seperti ‘terbawa-bawa’ dalam dunia ceria ikon komedi itu.

Umum mungkin tidak percaya karektor saya di rumah adalah seorang yang membosankan. Saya seorang yang serius apabila berada bersama keluarga.

Di rumah anak saya lebih pandai berlawak berbanding saya, tetapi belum ada bayangan anak-anak bakal mengikut jejak langkah (sebagai pelawak) kerana anak-anak memberitahu mereka lebih berminat menjadi pahlawan Ninja dan saintis,” katanya.

Jawapan spontan itu membuatkan suasana sidang media kecoh semula, walaupun Harith cuba menerangkan dengan mimik muka yang serius tetapi tetap melu-cukan bagi yang hadir.

Bagi penulis, Harith mempunyai semangat patriotik dan cintakan negara apabila sentiasa menyelitkan elemen-elemen keunikan Malaysia dari asepek perpaduan kaum dan budaya sebagai bahan sketsa persembahan komedi termasuk di luar negara.

Malaysia dan rakyatnya begitu unik sehinggakan masyarakat dunia menerima kelebihan kita dalam sketsa lawak-lawak yang dipersembahkan,” katanya sambil memberi contoh, gua Niah di Sarawak berusia 40,000 tahun turut digunakan dalam subjek persembahannya.

Ditanya mengenai potensi industri komedi tempatan, Harith bersyukur kerana industri itu semakin berkembang dan diterima oleh peminat tempatan dan luar negara.

Situasi itu jauh berbeza berbanding 27 tahun lalu ketika saya mulai berjinak industri komedi. Ini adalah suatu perkembangan sihat sekaligus memotivasikan diri untuk terus dikenali sebagai pelawak komedi terulung negara,” jelasnya.

Pemenang anugerah ‘Laugh Factory’s Funniest Person in the World 2016’ yang berlangsung di Finland itu juga tidak lokek ilmu untuk membantu generasi baru yang berminat menceburi bidang pelawak komedi.

Malah katanya, beliau turut mempunyai syarikat pengeluaran sendiri bagi membantu mengasah bakat-bakat mereka yang ingin berkecimpung dalam industri komedi itu.

Beliau menasihati bakat-bakat baru (pelawak muda) agar menjadi diri sendiri dan jangan cuba meniru gaya dan bahasa lain sekiranya belum lagi mampu ke tahap komedi itu.

Selain itu, bercakap mengenai penerimaan orang ramai terhadap siri jelajah komedi beliau ke seluruh negara yang bermula sejak Februari lalu, Harith rasa amat bangga dan gembira kerana respon yang diberikan adalah amat menggalakkan.

Sambutan orang ramai terhadap siri jelajah komedi ini sangat bagus dengan tiket semua habis dijual termasuk di Kuching (Sarawak) ini dengan kira-kira 1,000 tiket berjaya dijual,” katanya sambil merancang untuk mengadakan program seperti itu di sini lagi suatu hari nanti.

Dalam pada itu, siri jelajah komedi Harith Iskander yang bersiaran secara langsung bersama peminat di Hotel Pullman di sini, malam kelmarin berjaya mencuit hati peminat dunia komedi di negeri ini.

Selain persembahan lawak bersahaja daripada Mahasifu Komedi Stendap di Malaysia (Harith) itu selama satu jam, siri komedi jelajah tersebut turut menampilkan persembahan daripada dua pelawak komedi muda iaitu Muzakir Zainal dan Prakash Danial.

Bagi peminat-peminat komedi yang mahu menyaksikan kehebatan pelawak komedi terkenal tanah air itu, boleh ke destinasi jelajah komedi Harith di Kota Kinabalu pada 15 Mac dan Labuan pada 16 Mac ini.

Sebelum ini, Harith mengadakan siri jelajah komedi itu di Kuala Lumpur pada 24 Februari sebagai destinasi pertama dan seterusnya ke Johor Bahru, Melaka, Pulau Pinang dan Kuching pada malam kelmarin (14 Mac).

  • oleh
  • Advertisement