Anda di sini

Gadis tidak mengaku terbabit loteri tanpa lesen

Advertisement

MIRI: Seorang gadis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret semalam terhadap tuduhan memiliki dan membantu menjual loteri tanpa lesen.

Corrina Sidi, 20, dari Kampung Pasir, Lutong didakwa mengikut Seksyen 4A (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, yang memperuntukkan denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak melebihi RM200,000 serta penjara tidak melebihi lima tahun, jika sabit kesalahan.

Menurut keterangan kes, tertuduh didakwa memiliki dan membantu menjual tiket pertaruhan loteri tanpa lesen.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 6 petang, 4 Februari lalu di sebuah gerai di Pasar Besar, Krokop di sini.

Terdahulu, pegawai pendakwa ASP Mary Ong memohon ditetapkan tarikh baharu untuk pengurusan kes memandangkan tertuduh telah mengaku tidak bersalah serta meminta dibicara lanjut.

Majistret Zuraini Ali Musa membenarkan permohonan itu dan menetapkan 6 April ini untuk pengurusan kes.

Sementara itu, tertuduh dibenarkan dibebas dengan jaminan RM2,800 berserta dua penjamin tempatan sementara menunggu tarikh tersebut.

Advertisement