Anda di sini

Cukup bukti untuk pendakwaan

Advertisement

SRI AMAN: Ahli farmasi yang ditahan reman untuk membantu siasatan berhubung kes kematian isterinya yang ditemui kepalanya di tebing Batang Lupar, Jalan Skait Lama di sini pada 3 Mac lalu akan dituduh di Mahkamah Majistret Sri Aman hari ini.

Demikian menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak Datuk Dev Kumar yang mengesahkan hasil siasatan pihaknya membolehkan suspek yang berusia 42 tahun itu dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan sebagai kes bunuh.

Kertas siasatan telah diserahkan kepada Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) Sarawak pada 14 Mac 2018.

Setelah mengkaji segala keterangan dalam siasatan, PPN berpuas hati bahawa terdapat bukti yang mencukupi untuk menuduh suami mangsa di bawah Seksyen  302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Sri Aman pada Jumaat ini (hari ini),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataannya di sini semalam dan turut memberitahu suspek akan dituduh pada jam 2.30 petang.

Selain itu, Dev mengesahkan pihaknya masih belum menemui bahagian badan mangsa dan usaha mencarinya masih giat dijalankan.

Setakat ini, selain kepala mangsa yang ditemui, pasukan siasatan masih tidak berjaya menemui bahagian badan mangsa,” katanya.

Kepala isteri suspek yang merupakan warganegara China ditemui orang awam di tebing sungai tersebut yang terus melaporkan kepada pihak polis.

Hari berikutnya, bapa mangsa tampil mengesahkan ia adalah kepala anaknya.

Difahamkan, tiada laporan polis dibuat oleh suspek sejak kehilangan mangsa.

Suspek kemudian dipanggil untuk soal siasat dan didapati keterangan yang diberikannya meragukan menyebabkan dia ditahan reman selama tujuh hari bermula 5 Mac dan bedah siasat juga telah dijalankan ke atas kepala mangsa.

Mangsa yang berusia 31 tahun telah berkahwin dengan suspek sejak tahun 2011 dan menetap di Sri Aman serta mempunyai dua anak.

  • oleh
  • Advertisement