Anda di sini

Azrul Shah dipilih Pengerusi Penaja Kelab Belia KATARU

Advertisement
 Azrul Shah (duduk, empat kanan) bersama barisan kepimpinan KATARU 2018.
ASAH BAKAT: Azrul Shah (duduk, empat kanan) bersama barisan kepimpinan KATARU 2018.

LABUAN: Usahawan muda Azrul Shah Abdul Rahman dipilih sebulat suara sebagai Pengerusi Penaja Kelab Belia Kampung Tanjung Aru (KATARU) 2018 pada Mesyuarat Penubuhan Kelab itu yang diadakan di balai raya Kampung Tanjung Aru.

Timbalan Pengerusi disandang oleh Noorhasannah Abd Hamid manakala Yusri Yusof dan Mohd Hafizuddin Yahya memegang jawatan setiausaha dan bendahari. Turut dipilih Afizah Azis sebagai timbalan setiausaha dan Hafizuddin Yahya sebagai timbalan bendahari.

Tujuh ahli jawatankuasa yang turut dipilih ialah Inawati Daud, Yusmita Yunos, Shafawati Daud, Nur Syakilla Sawal, Mohd Naim Jamil, Hafiezul Hakim Sawal dan Rafizan Rahadi.

Azrul ketika berucap berkata, penubuhan kelab itu bertujuan mengaktifkan semula persatuan belia Kampung Tanjung Aru dengan mengambil pendekatan lebih meluas untuk menarik lebih ramai golongan belia bergiat aktif dalam kegiatan yang bermanfaat.

Ini termasuklah mengasah bakat kepimpinan muda seiring dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan generasi belia yang berwibawa dan berketerampilan,” katanya.

Beliau yang juga AJK Sukan Peladang Kampung Tanjug Aru mengharapkan ahli penaja dapat memberikan kerjasama, bukan sahaja dalam membentuk gagasan belia di kampung tetapi juga dalam pembangunan dan perpaduan masyarakat khususnya di Kg Tanjung Aru.

Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Labuan Mohd Hazzan Dahari merasmikan mesyuarat yang julung kalinya diadakan itu dihadiri lebih 40 belia dan beliawanis Kg Tanjung Aru.

Advertisement