Anda di sini

UMS meterai MoA bersama TTSB untuk membangunkan ‘Teaching Resort’

Advertisement
 Kamarudin (dua kiri) bertukar dokumen MoA dengan Dares sambil diperhatikan Yeo (belakang, tengah) dan tetamu kehormat lain.
RESORT SENDIRI: Kamarudin (dua kiri) bertukar dokumen MoA dengan Dares sambil diperhatikan Yeo (belakang, tengah) dan tetamu kehormat lain.

KOTA KINABALU: Satu memorandum perjanjian (MoA) antara Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Traverse Tours Sdn Bhd (TTSB) telah dimeterai bagi membangunkan ‘Teaching Resort’ di dalam kampus universiti berkenaan.

Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr D Kamarudin D Mudin berkata, usaha sama yang terjalin bakal menjadikan UMS sebagai universiti pertama yang mempunyai resort sendiri bagi tujuan latihan dan memberi pengalaman industri kepada para pelajar.

Resort ini akan menyediakan kemudahan 30 unit chalet berkonsepkan ‘eco-friendly’ berserta kemudahan restoran serta spa yang bakal menarik para pelancong luar dan dalam negara menginap di tepi pantai dikelilingi suasana kampus.

Teaching Resort ini bakal memberi nilai tambah yang tidak ternilai kepada para pelajar perhotelan dan pelancongan UMS bagi memenuhi pasaran kerja dan industri.

Ia turut selari dengan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang mahu memperkasakan konsep ‘industry in campus’ dengan membawa pihak industri bekerjasama dengan universiti,” katanya pada majlis MoA antara UMS dan TTSB di sini pada Selasa.

Beliau berkata, antara lain ia turut menekankan Industri 4.0 dalam aplikasi operasi resort itu yang akan turut memberi dimensi baharu kepada konsep pembelajaran alaf baharu.

Katanya, jalinan kerjasama antara kedua-dua pihak itu turut sejajar dengan tiga teras utama dalam Sabah Leap 2035 yang memfokuskan kepada tiga tunjang utama bagi menjadikan negeri ini maju setanding dengan negeri lain dalam pelancongan, sawit serta minyak dan gas sebagai pemangkin utama kepada ekonomi Sabah.

Resort yang dibangunkan oleh pihak TTSB akan menekankan konsep alam semula jadi dengan gabungan kontemporari.

Hasil kolaborasi bersama pihak industri akan memberi nilai tambah dan kelebihan kepada bakal graduan khususnya dalam bidang pelancongan dan hospitaliti, selain menyasarkan untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) Datuk Yeo Boon Hai, Pengarah Urusan TTSB Dares Saham @Octavius dan Pengerusi Lembaga Pengarah UMS Tun Zaki Tun Azmi.

Advertisement