Anda di sini

Lelaki didakwa miliki, salah guna dadah

Advertisement

MIRI: Seorang lelaki warga asing dihadapkan ke Mahkamah Majistret semalam atas tuduhan memiliki dan menyalahgunakan dadah berbahaya.

Junal Kasim, 22, dari Kampung Busbus, Jolo, Sulu, Filipina didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 12 (3) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda RM100,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh sebagai seorang yang bukan diberi kuasa di bawah ADB 1952, didapati memiliki dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 0.23 gram.

Methamphetamine merupakan sejenis item yang disenaraikan dalam Bahagian III, Jadual Pertama ADB 1952.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 10.40 pagi, 3 Mac lalu di hadapan sebuah rumah di Lorong Mulia 2A-1, Kampung Tudan di sini.

Selain itu, tertuduh turut menghadapi satu lagi pertuduhan mengikut Seksyen 15 (1) (a) ABD 1952 (Akta 234) dan dihukum di bawah Seksyen 15 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda RM5,000 atau penjara dua tahun dan serta-merta dikehendaki menjalani pengawasan oleh seorang pegawai yang ditakrifkan di bawah Seksyen 2 Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 selama tempoh tidak kurang dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun mengikut Seksyen 38B ADB 1952.

Menurut pertuduhan kes, tertuduh dituduh menyalahgunakan dadah berbahaya jenis methamphetamine yang terkandung dalam Jadual Pertama ADB 1952, dengan cara memasukkan dadah tersebut ke dalam tubuh badan sendiri tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh pada jam 11.35 pagi, 3 Mac lalu di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Miri di sini.

Tiada pengakuan salah tertuduh direkodkan.

Terdahulu, pegawai pendakwa memohon ditetapkan tarikh baharu untuk sebutan lanjut kes memandangkan laporan kimia berhubung barang kes masih belum siap.

Advertisement