Anda di sini

Kutipan cukai Sabah meningkat 15.5 peratus

Advertisement
 Sabin (dua kanan) bersama tetamu undangan lain selepas melancarkan Kod QR LHDNM.
DILANCAR: Sabin (dua kanan) bersama tetamu undangan lain selepas melancarkan Kod QR LHDNM.

KOTA KINABALU: Sabah mencatat peningkatan 15.5 peratus bagi jumlah kutipan cukai 2017 membabitkan kutipan sebanyak RM3.96 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) Datuk Seri Sabin Samitah berkata, pencapaian itu direkodkan dengan jumlah peningkatan sebanyak RM531.5 juta.

Menurutnya, tahun ini LHDNM menyasarkan pencapaian jumlah kutipan cukai sebanyak RM4.32 bilion.

Katanya, pada 2016 Sabah memperoleh kutipan cukai berjumlah RM3.43 bilion.

Pada 2015 dan 2016, LHDNM mengalami penurunan kutipan cukai langsung secara berturut-turut.

Situasi ini mendorong LHDNM untuk menyusun dan menjajar semula strategi dan fokus baharu.

Tumpuan kepada aspek pemantapan aktiviti teras percukaian dan pengurusan organisasi terus diberi keutamaan,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Mesra LHDNM Bersama Media Negeri Sabah 2018 di sini pada Selasa.

Menurutnya tahun lepas, LHDNM berjaya merekodkan jumlah kutipan cukai langsung sebanyak RM9 bilion atau 8.15 peratus lebih tinggi berbanding 2016.

Selain faktor ekonomi jelasnya, kejayaan itu juga disokong oleh penerimaan dan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan tanggungjawab membayar cukai.

Pada masa sama katanya, sumbangan para pengamal media membantu LHDNM mempromosikan serta melaporkan maklumat amat signifikan dalam memupuk kesedaran masyarakat.

Pada majlis itu, Sabin turut melancarkan Kod ‘Quick Response’ (QR) LHDNM sebagai kemudahan orang ramai memperoleh maklumat percukaian dengan pantas.

Ini adalah langkah LHDNM ke arah transformasi digital urusan cukai dan ia selaras dengan hasrat kita untuk menjadikan urusan percukaian lebih mudah dan mesra pengguna,” jelasnya.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi Percukaian) LHDNM Mahmood Daud; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan) Abdul Manap Dim dan Pengarah LHDNM Sabah Suhaili Sudin.

Advertisement