Anda di sini

Harga minyak AS$45-AS$65 setong dalam jangka sederhana

Advertisement

Inventori global turun ekoran pengeluaran terhad, permintaan kukuh

KUALA LUMPUR: Moody’s Investors Service (Moody’s) menaikkan tahap harga jangka sederhana ke atas minyak mentah kepada AS$45 hingga AS$65 setong (bbl), daripada AS$40 hingga AS$60/bbl.

Dalam satu kenyataan semalam, Moody’s berkata tindakan berterusan oleh Pertubuhan Negara Pengeksport Minyak (OPEC) mengehadkan pengeluaran, selain permintaan global yang kukuh,  menyumbang kepada penurunan inventori global, dan mengimbangi peningkatan pesat pengeluaran syal Amerika Syarikat (AS).

Pada masa yang sama, ia mengekalkan tahap harga minyak gas asli Amerika Utara di Henry Hub, pengukuran induk industri bagi harga gas asli, kepada AS$2.50 hingga AS$3.50 setiap juta unit termal British (MMBtu), dan pada masa yang sama menaikkan harga minyak gas asli cecair (NGL) hingga AS$20 hingga AS$30/bbl, meningkat daripada AS$19 kepada AS$27/bbl.

Naib Presiden Kanan Moody’s, Terry Marshall berkata harga pada tahap yang lebih tinggi ini akan menggalakkan dan meningkatkan bekalan, selari pengeluaran AS yang meningkat, dan banyak negara tidak mematuhi kuota pengeluaran masing-masing.

Bagaimanapun, dengan harga minyak mentah pada paras lebih tinggi baharu pada AS$45 hingga AS$65 pada awal tahun 2018, kami menjangkakan harga berada pada julat ini dalam jangka sederhana, ketika berlaku keseimbangan antara peningkatan pengeluaran dan pertumbuhan permintaan,” katanya.

Penganalisis Moody’s melihat unjuran jangka sederhana sebagai pertimbangan harga yang paling relevan dalam menilai prestasi dan penarafan kewangan bagi pengeluar korporat dan negara pengeksport minyak.

Menurut agensi penarafan itu, penekanan kepada pelbagai hasil dalam tahap harga  membantu dalam penilaian daya tahan terhadap turun naik harga, dan oleh itu penilaian kredit lebih bertahan untuk entiti korporat atau kerajaan.

Ia berkata harga minyak telah meningkat sejak Perjanjian OPEC pada 2016 bagi mengurangkan pengeluaran minyak sebanyak 1.2 juta tong sehari (bpd), dan bukan ahli OPEC, yang diketuai oleh Rusia, juga bersetuju mengurangkan pengeluaran sebanyak 558,000 tong sehari.

Penganalisis berkata OPEC mematuhi sepenuhnya pengekalan pengeluarannya, dengan jumlah pengurangan dibantu oleh Arab Saudi melebihi sasarannya manakala Venezuela meningkatkan pengeluaran disebabkan isu domestik.

Marshall berkata ini mengakibatkan penurunan dalam inventori minyak mentah global, yang menyumbang kepada kenaikan harga minyak.

Walaupun faktor-faktor ini membantu menaikkan harga komoditi, Moody’s yakin harga akan terus berubah-ubah dan mungkin tidak menentu, di tengah-tengah peningkatan pengeluaran syal oleh AS, yang walaupun berkurangan, namun bekalan global yang masih signifikan, dan potensi ketidakpatuhan ke atas pengurangan pengeluaran, terutama jika pertumbuhan permintaan suram.— Bernama

Advertisement