Anda di sini

Hanya 12 peratus entiti perniagaan usahawan bumiputera bertaraf makro

Advertisement

KUALA LUMPUR: Walaupun pelbagai usaha dilaksanakan kerajaan untuk memartabatkan keusahawanan Bumiputera, termasuk mewujudkan Komuniti Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (BCIC), hanya 12 peratus sahaja entiti perniagaan Bumiputera  daripada keseleluruhan 354,699, kini bertaraf makro.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata 88 peratus daripada jumlah syarikat usahawan Bumiputera bertaraf mikro, iaitu syarikat yang mempunyai lima pekerja dan ke bawah serta pendapatan tahunan mereka tidak melebihi RM300,000.

Katanya masyarakat Bumiputera merangkumi 68 peratus daripada penduduk Malaysia dan pemilikian entiti perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) milik usahawan Bumiputera hanya 39.1 peratus daripada jumlah keseluruhan 907,065 entiti perniagaan.

Jadi ada banyak lagi kerja untuk kita melaksanakan pembangunan BCIC. Kita telah meletakkan bahagian pembangunan usahawan Bumiputera di semua kementerian dan diketuai oleh Timbalan Ketua Setiausaha kementerian masing-masing.

Saya harap bahagian pembangunan usahawan Bumiputera di semua kementerian ini lebih proaktif dan bukan hanya menunggu usahawan datang ke kementerian, baru nak nyatakan ada dana itu dan ini,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Ahmad Hamzah (BN-Jasin) yang bertanyakan tahap kemajuan BCIC dalam tempoh lapan tahun yang lepas berbanding komuniti Cina.

Ahmad Maslan bagaimanapun berkata nilai keseluruhan limpahan ekonomi Bumiputera meliputi pelbagai program pembiayaan dan modal insan yang terkumpul sehingga Januari tahun ini berjumlah RM124.6 bilion.

Katanya jumlah PKS Bumiputera juga menunjukkan peningkatan berdasarkan banci yang dibuat dari  2005 hingga 2017, meningkat daripada 35 peratus kepada 39.1 peratus.

BCIC diwujudkan pada 2006 selaras dengan hasrat yang dinyatakan dalam Wawasan 2020 iaitu perlunya diwujudkan masyarakat Bumiputera yang berdaya tahan dan berdaya saing, setaraf dengan masyarakat bukan Bumiputera.— Bernama

Advertisement