Anda di sini

Guna kad pengenalan orang lain, buruh asing kena 10 bulan

Advertisement

MIRI: Seorang buruh asing dijatuhi hukuman penjara 10 bulan oleh Mahkamah Majistret semalam atas kesalahan menggunakan kad pengenalan milik individu lain.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Zuraini Ali Musa setelah Nazry Hadade mengaku bersalah atas tuduhan yang dibacakan terhadapnya mengikut Peraturan 25 (1) (e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2001).

Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara hingga tiga tahun atau denda hingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Menurut keterangan kes, tertuduh ditahan pada jam 4.15 petang, 25 Februari lalu di sebuah rumah di Kampung Pengkalan Lutong untuk tujuan pemeriksaan kerana dipercayai warga asing.

Ketika diperiksa, polis mendapati tertuduh tanpa kuasa yang sah atau munasabah memiliki sekeping kad pengenalan bernombor 791010-12-xxxx kepunyaan lelaki lain.

Berikutan itu, tertuduh ditangkap dan dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut.

Pendakwaan dilakukan ASP Mary Ong, manakala tertuduh tidak diwakili.

Advertisement