Anda di sini

Visa yakin catat pertumbuhan dua angka bagi transaksi bil

Advertisement

KUALA LUMPUR: Visa Malaysia yakin dapat mencatat pertumbuhan dua angka bagi transaksi pengebilan keseluruhan tahun ini yang menumpukan transaksi dalam talian dan aplikasi digital, terutama perbelanjaan daripada segmen pengembaraan dan runcit.

Pengurus Negara, Ng Kong Boon berkata, transaksi pengebilan keseluruhan bagi kad debit dan kredit di Malaysia pada tahun lepas merekodkan AS$23 bilion (AS$1=RM3.90).

Kami yakin transaksi pengebilan keseluruhan akan merekodkan pertumbuhan organik tahun ini dan melalui kerjasama dengan Corporate Information Travel Sdn Bhd (CIT) hari ini, kami positif untuk meningkatkan penguasaan pasaran kami,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Visa Malaysia semalam menjalinkan perkongsian dengan CIT untuk melancarkan platform aplikasi ‘Pick A Trip’.

Ng berkata Visa Malaysia turut menyasarkan kadar pertumbuhan transaksi pembayaran tanpa sentuh di Malaysia antara 25 peratus dan 30 peratus tahun ini berbanding 20 peratus ketika ini.

Hong Kong, Australia dan Singapura kini mencatatkan kadar penembusan masing-masing 70 peratus, 90 peratus dan 50 peratus. Malaysia bagaimanapun terkemudian dalam melaksanakan transaksi ini berbanding negara  tersebut.

Berasaskan sifar kes penipuan transaksi tanpa sentuh dilaporkan, kami yakin akan mencapai penanda aras industri pada 50 peratus menjelang 2020 dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya.

Mengenai perkongsian dengan CIT, Ng berkata, Visa menyasarkan 50,000 muat turun bagi ‘Pick A Trip’ dalam kalangan 30 juta pemegang kad Visa di Malaysia pada tahun pertama selepas pelancarannya.

Pick A Trip’, aplikasi mudah alih pengembaraan yang eksklusif bagi pemegang kad Visa Malaysia, membolehkan mereka mencari, memilih dan membandingkan harga daripada beratus-ratus syarikat penerbangan dan hotel di seluruh dunia.

Beliau berkata, berdasarkan data WsaNet, perbelanjaan pengembaraan melalui e-dagang berkembang pantas berbanding bersemuka dan merekodkan peningkatan 10 peratus berbanding tahun.

Penyelidikan kami menunjukkan rakyat Malaysia menggunakan peranti mudah alih selama lebih lima jam sehari dan berasaskan kajian Keinginan Mengembara Dunia oleh Visa, 72 peratus rakyat Malaysia menggunakan peranti mudah alih mereka untuk mendapatkan maklumat dalam merancang perjalanan mereka,” katanya.

Pengarah Eksekutif CIT, Foo Sze Zhaun berkata menerusi ‘Pick A Trip’, pengembara tidak lagi perlu memuat turun pelbagai aplikasi daripada pelbagai syarikat penerbangan serta membandingkan harga dan waktu penerbangan secara manual.

Pick A Trip menumpu untuk mentransformasikan pengalaman tempahan bagi pengembara dan mempertingkatkan lagi penyelesaian pembayaran Visa, Visa Checkout

Tawaran eksklusif juga tersedia di aplikasi itu bagi pemegang kad Visa,” katanya, dengan menambah, aplikasi itu boleh dimuat turun menerusi Google Play atau Apple Store. — Bernama

Advertisement