Anda di sini

MOE dan TM jalin usaha sama memperkasa sistem pendidikan

Advertisement

Ke arah penyampaian perkhidmatan dan penyelesaian digital inovatif

 Mahdzir (kanan) melancarkan pakej khas Unifi Mobile untuk guru-guru pada majlis Program Transformasi Digital Kementerian Pendidikan di Pusat Konvensyen Telekom Malaysia semalam. Turut hadir Sulaiman (dua kanan). — Gambar Bernama
LANCAR: Mahdzir (kanan) melancarkan pakej khas Unifi Mobile untuk guru-guru pada majlis Program Transformasi Digital Kementerian Pendidikan di Pusat Konvensyen Telekom Malaysia semalam. Turut hadir Sulaiman (dua kanan). — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Telekom Malaysia Bhd (TM) dan Kementerian Pelajaran (MOE) akan melaksanakan inisiatif Transformasi Pendidikan Digital bagi memperkasa sistem pendidikan Malaysia menerusi inovasi dan pendigitalan.

Menteri Pelajaran Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata usaha sama jangka panjang ini akan membolehkan kementerian meningkatkan dan mempercepat perjalanan transformasi digital menerusi penyambungan jalur lebar berkelajuan tinggi, papan pintar interaktif, peranti pintar selain pengajaran dan pembelajaran cara alaf ke-21.

Transformasi itu juga akan mendigitalkan sistem kehadiran dan pengesanan pelajar untuk keselamatan mereka, selain ibu bapa dan guru akan memperoleh ketampakan masa nyata ke atas kehadiran pelajar masing-masing.

Akhirnya, semua data dan maklumat daripada penyelesaian ini akan diintegrasikan dan digabungkan menjadi satu platform tunggal untuk analitik Data Raya,” katanya pada taklimat media selepas merasmikan acara di sini semalam.

Sempena usaha sama itu, TM juga memperkenal ‘Pek JASA, satu pelan Unifi Mudah Alih, khusus untuk guru pada harga RM59 sebulan untuk data, panggilan dan SMS tanpa had, yang boleh diperoleh di semua TM Point di seluruh negara.

Sementara itu, Pengerusi TM Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob berkata kerjasama itu akan memastikan program Transformasi Pendidikan Digital yang berkesan, selari dengan pelan Transformasi Negara 2050 (TN50) kerajaan.

Kami bangga dapat memainkan peranan sebagai rakan strategik dalam mewujudkan ekosistem untuk program transformasi digital MOE.

Kami mahu bekerjasama dengan MOE bagi mempercepat penyampaian perkhidmatan dan penyelesaian digital yang inovatif bagi sektor pendidikan ke arah membina tenaga kerja berasaskan pengetahuan untuk negara,” katanya.

Beliau  berkata usaha sama itu akan menumpukan kepada  empat tonggak utama iaitu Pengajaran & Pembelajaran Alaf ke-21, Arkitek Perusahaan, Analitik Pendidikan, dan perkhidmatan Nilai Tambah lain yang sesuai untuk pendidikan. — Bernama

Advertisement