KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) berjaya menyelesai dan menutup 99.7 peratus daripada 735 aduan yang dikemukakan kepadanya antara Julai hingga Disember 2017.
Ini menunjukkan peningkatan dalam prestasi MAVCOM, walaupun bilangan aduan yang dikemuka menyaksikan kenaikan sebanyak 23 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Perkara ini didedahkan dalam Laporan Pengguna isu ketiga suruhanjaya tersebut yang dikeluarkan di sini semalam.
“Dengan penekanan dalam memacu industri penerbangan berorientasikan pengguna di Malaysia, laporan itu memberikan pandangan yang mendalam kepada aduan yang sering diterima mengenai syarikat penerbangan dan lapangan terbang yang beroperasi di sektor tersebut,” kata MAVCOM dalam satu kenyataan.
Pengerusi Eksekutif, Tan Sri Abdullah Ahmad berkata, MAVCOM mengalu-alukan pengguna untuk memberi maklum balas mereka kerana ia percaya, semakin banyak orang yang sedar dan mampu melaksanakan hak-hak mereka akan menyumbang dengan baik kepada sektor ini dalam jangka panjang.
“Sudah tentu, kami sangat berhati-hati mengenai mandat kami untuk memastikan aduan terbabit ditangani, diselesai dan ditutup tepat pada masanya. Malah, hakikat bahawa kami telah berjaya melakukannya adalah petanda komitmen kami yang mantap untuk membantu pengguna syarikat penerbangan di Malaysia,” katanya.
Menurut laporan itu, Malaysia Airlines mewakili 39.6 peratus daripada aduan yang diterima oleh MAVCOM, meningkat kepada 291 untuk tempoh laporan berbanding 157 bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya.
“AirAsia dan Malindo Air masing-masing mewakili 23 peratus dan 22.9 peratus daripada jumlah aduan yang diterima. Bagaimanapun, jumlah aduan yang difailkan terhadap AirAsia untuk tempoh laporan menurun 23.9 peratus, manakala yang melibatkan Malindo Air menyaksikan lonjakan 46.1 peratus,” katanya. — Bernama