Anda di sini

Kemudahan UPECA RM151 juta akan mula dibina pada April

Advertisement
 Mustapa (kanan) mendengar penerangan daripada pengerusi Malaysia Airports Tan Sri Syed Anwar Jamalullail semasa majlis pecah tanah Pusat Senior Aerospace  di Subang semalam. — Gambar Bernama
PERKUKUH INDUSTRI: Mustapa (kanan) mendengar penerangan daripada pengerusi Malaysia Airports Tan Sri Syed Anwar Jamalullail semasa majlis pecah tanah Pusat Senior Aerospace di Subang semalam. — Gambar Bernama

SUBANG JAYA: Pembinaan kilang pengeluaran dan pejabat Senior Aerospace UPECA di Taman Aeroangkasa Subang oleh Axis REIT Manager Bhd akan bermula pada awal April dan dijangka siap menjelang akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Axis REIT, Leong Kit May berkata, kemudahan 1.66 hektar tersebut akan digunakan sebagai Pusat Senior Aerospace UPECA untuk pembuatan, penyimpanan dan pengedaran komponen aeroangkasa.

Kemudahan RM151 juta itu mempunyai tempoh pajakan tetap awal selama 20 tahun, dengan pilihan untuk memperbaharui selama dua penggal dengan enam tahun setiap satu,” katanya pada majlis pecah tanah kemudahan berkenaan di sini, semalam.

Turut hadir ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd, Datuk Badlisham Ghazali.

Leong berkata, syarikat itu teruja untuk menjadi sebahagian daripada inisiatif pemulihan Lapangan Terbang Subang dengan mempunyai kehadiran di Subang Aerotech Park.

Kerjasama kami dengan Malaysia Airports untuk tanah seluas 2.84 hektar ini bermula pada separuh pertama 2017, dengan perjanjian ditandatangani pada November 2017,” kata Leong.          

Kemudahan baru ini menjadi tambahan kepada kemudahan sedia ada Senior Aeropace UPECA di Shah Alam dan akan menampilkan pembuatan automasi canggih dan keupayaan proses khas yang komprehensif dari Senior plc yang berpangkalan di UK.

Apabila siap, kemudahan itu akan mempunyai 360 kakitangan kejuruteraan dan teknikal yang berkemahiran tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Senior, David Squires berkata, pihaknya merancang untuk meningkatkan pelaburan di Malaysia dengan ketara dalam tempoh 10 tahun akan datang berikutan rancangan untuk mengembangkan perniagaan di negara ini.

Ia akan menjadi pertumbuhan organik, kami amat berpuas hati dengan meletakkan pelaburan kami di mana kemudahan kami berada, bukannya pergi ke negara lain,” katanya.

Sementara itu, Mustapa berkata, kementerian merancang untuk mengukuhkan industri aeroangkasa sejajar dengan pertumbuhannya, yang mewujudkan lebih 23,000 pekerjaan terutama dalam segmen aeroangkasa dan pembuatan dan penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) melalui penyertaan aktif perusahaan kecil dan sederhana.

Pada 2017, jumlah pendapatan industri tersebut berjumlah RM13.5 bilion, 49 peratus daripadanya daripada sektor pembuatan aeroangkasa manakala eksport sektor MRO berjumlah RM8.49 bilion, meningkat 54 peratus berbanding 2016.

Mustapa berkata di bawah Pelan Induk Aeroangkasa Nasional, matlamatnya adalah untuk mewujudkan 10,000 lagi pekerjaan menjelang 2030, meningkat daripada 23,000 ketika.

Kami juga akan bekerja keras untuk meningkatkan hasil industri kepada RM55.5 bilion dalam tempoh itu. Ia adalah cabaran besar, oleh itu kami mengalu-alukan pelaburan Senior,” katanya. — Bernama

Advertisement