Anda di sini

ICW 2018 sasar peningkatan jualan kepada RM100 juta

Advertisement

Sasaran tinggi adalah berdasarkan penyertaan lebih banyak syarikat

KUALA LUMPUR: Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) 2018 yang akan berlangsung dari 26 hingga 30 Mac ini, dijangka mencatatkan jualan antara RM70 juta dan RM100 juta, berbanding RM16 juta pada acara tahun lalu.

Pengurus Besar Kanan Polisi dan Sektor Korporat Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Sariah Abd Karib, berkata sasaran yang tinggi itu adalah berdasarkan penyertaan lebih banyak syarikat dan negara tahun ini.

Tahun lalu, kita hanya mendapat penyertaan lapan syarikat dari dua negara. Namun  tahun ini, kita ada 26 syarikat dari 14 negara,” katanya pada taklimat media berkenaan ICW 2108, di sini semalam.

ICW sudah berkembang menjadi platform berprestij di Asia Tenggara dan pada masa ini ia adalah acara perdagangan  pembinaan terbesar di Malaysia

Lebih 100 pempamer dan lebih 1,000 pengunjung dijangka menghadiri acara ini tahun ini

Dengan tema ICW 2018 ‘Mencapai Kemuncak Produktiviti’, ia disasarkan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan pemain industri terhadap teknologi dan inovasi pembinaan.

Ia adalah sebahagian usaha  CIDB untuk memperbaiki secara keseluruhan produktiviti dan daya saing industri.

Acara ini juga akan menampilkan buat pertama kalinya Persidangan Antarabangsa Transformasi Pembinaan (ICTC) yang dianjurkan CIDB.

Sariah berkata, ICTC akan menghimpunkan pakar serta pemimpin industri bertaraf dunia dari Malaysia dan rantau ini untuk menilai kesan teknologi juga inovasi dari segi peningkatan produktiviti industri pembinaan. 

ICW 2018 menandakan komitmen sejak sekian lama CIDB bagi menjadikan Malaysia pemimpin global industri pembinaan, terutama dalam bidang produktiviti, kualiti dan keselamatan.

Bagi mencapainya, kita perlu meneruskan usaha untuk meningkatkan tahap produktiviti industri pembinaan dengan mewujudkan sinergi antara tenaga kerja berkemahiran tinggi dengan teknologi pembinaan moden yang terdapat hari ini,” katanya.

ICW 2108 juga akan menampilkan pameran, seminar serta persidangan berkenaan penggunaan teknologi  pembinaan moden seperti Sistem Binaan Berindustri (IBS) dan Informasi Permodelan Bangunan (BIM), bahan lestari baharu dan sumber tenaga, pendekatan reka bentuk inovatif, juga kemajuan dalam teknologi digital termasuk penggunaan data raya pembinaan. — Bernama

Advertisement