Anda di sini

Georgia Software umum penggabungan dengan Incyber Technology bagi ‘K2Sys’

Advertisement

KUALA LUMPUR: Georgia Software Sdn Bhd mengumumkan penggabungannya dengan Incyber Technology Sdn Bhd, pusat penyelidikan dan pembangunan yang berpangkalan di Malaysia yang menumpukan kepada mereka bentuk produk teknologi penyulitan gred pertahanan di bawah jenama ‘K2Sys’.

Pengarahnya, Faidzan Hassan, berkata penggabungan itu akan menyediakan lonjakan besar bagi syarikat berkenaan untuk menawarkan penyelesaian tersebut kepada pelanggan utama pertahanan, penguatkuasaan dan keselamatan dalam negeri di rantau ini. 

Setakat ini, kami telah melabur sehingga AS$5 juta (AS$1 = RM3.90) membangunkan produk teknologi penyulitan, yang malahan beberapa cirinya lebih baik berbanding produk penyulitan keselamatan antarabangsa lain di dunia,” katanya kepada Bernama.

Produk itu membolehkan organisasi, kementerian atau malahan negara-negara menyulit maklumat, menghalangnya daripada dibocorkan atau dicuri oleh penggodam atau sebarang percubaan tidak diingini yang boleh merisikokan organisasi.

Faidzan berkata perisian itu akan ditawarkan pada harga yang jauh lebih murah sekitar AS$5,000 bagi setiap peranti berbanding perisian penyulitan global lain yang menawarkan perlindungan yang sama berharga kira-kira AS$20,000 setiap satu.

Ketika ini, katanya, syarikat itu sedang berbincang dengan Kementerian Pertahanan berkaitan dengan pelaksanaan produk teknologi penyulitan di seluruh kementerian itu.

Kami mengadakan perbincangan ini sejak dua bulan lepas dan kementerian itu sedang menguji produk kami di kemudahan mereka. Perbincangan berjalan lancar dan kami berharap ia boleh dimuktamadkan dalam tempoh dua bulan akan datang,” katanya.

Beliau berkata syarikat itu kini menyasarkan semua kementerian kerajaan, perbankan, kewangan, perkhidmatan dan industri insurans, serta Keselamatan Dalam Negeri yang akan mempunyai potensi perniagaan bernilai AS$1 bilion di India dan rantau ASEAN dalam tempoh lima tahun akan datang.

Faidzan berkata perisian itu, yang dibangunkan di Malaysia, akan disesuaikan dengan keperluan mana-mana kementerian dan organisasi yang mahu mendapatkan produk tersebut. —Bernama

Advertisement