Anda di sini

Dua termasuk remaja miliki waran tangkap DBKK ditahan

Advertisement

Salah seorang individu yang ditahan dibawa menaiki lori DBKK sebelum dihantar ke mahkamah.
Salah seorang individu yang ditahan dibawa menaiki lori DBKK sebelum dihantar ke mahkamah.

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menahan dua individu yang mempunyai waran tangkap selepas disaman di lokasi, di sini.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Nooliza Awang Alip berkata kedua-dua individu adalah antara 18 orang yang dikehendaki dan diberikan waran tangkap di kawasan Bandaran Berjaya serta Sembulan, masing-masing pada 12 Januari, 1 Februari dan 9 Mac lalu.

"Individu lelaki berumur 19 dan 35 tahun ditahan dalam operasi pelaksanaan waran tangkap terhadap Orang Kena Saman (OKS) bermula jam 9 sehingga 11.20 pagi di Bandaran Berjaya dan Sembulan.

"Pada operasi sama, anggota penguatkuasa turut menahan seorang wanita bersama anaknya selepas gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah dan kita akan menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika ditemui di lokasi.

Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Penguatkuasaan DBKK Abdul Mukti Muchlish.

Mukti semasa memeriksa senarai individu yang dikehendaki di sebuah premis di Bandaran Berjaya.
Mukti semasa memeriksa senarai individu yang dikehendaki di sebuah premis di Bandaran Berjaya.

Katanya, tangkapan dibuat bagi menghantar individu terbabit ke mahkamah untuk dijatuhkan hukuman mengikut Undang-Undang Kecil Anti Sampah Sarap 2010.

Nooliza berkata sepanjang operasi dilaksanakan, pihaknya mengalami kesukaran untuk mengesan individu terlibat berikutan kebanyakannya sudah berpindah dan tidak menetap secara tetap di kawasan itu.

"Bagi kawasan Sembulan, pasukan penguatkuasa mengalami kesukaran untuk melalui sebahagian kawasan jambatan dan individu dikesan turut didakwa sudah berpindah dan sukar untuk mengetahui alamat sebenar mereka.

"Terdapat juga beberapa pihak yang bertindak menipu anggota penguatkuasa bagi melindungi individu yang dikehendaki daripada dikesan pasukan operasi," katanya.

Anggota DBKK terpaksa memanjat tingkap rumah individu yang dikehendaki bagi membuka kunci pintu selepas tidak mendapat respon daripada pemilik rumah.
Anggota DBKK terpaksa memanjat tingkap rumah individu yang dikehendaki bagi membuka kunci pintu selepas tidak mendapat respon daripada pemilik rumah.

Katanya sepanjang operasi dijalankan sejak awal tahun ini, tahap kesedaran penghuni di lokasi dikenalpasti terutamanya Bandaran Berjaya semakin meningkat dan kadar sampah yang dibuang merata-rata semakin berkurangan.

Beliau bagaimanapun berkata usaha di kawasan Sembulan perlu ditingkatkan berikutan keadaan sampah di situ masih serius.

Pihaknya juga akan melaksanakan usaha berterusan bagi mengesan individu lain yang dikehendaki selain meningkatkan kesedaran untuk tidak membuang sampah dalam kalangan penduduk.
 

  • oleh
  • Advertisement