Anda di sini

DBKK nilai empat terowong tinggalan Jepun

Advertisement

 

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dalam usaha menilai empat terowong Jepun yang dibina pada Perang Dunia Kedua sekitar bandar raya ini.

Ketua Pengarah DBKK Datuk Joannes Solidau (gambar) berkata terowong berkenaan mampu dijadikan sebagai salah satu produk pelancongan bersejarah baharu di Sabah.

"Terowong ini adalah peninggalan tentera Jepun untuk dijadikan sebagai tempat berlindung sekiranya berlaku pengeboman pada perang dunia kedua dahulu.

"Kita kenal pasti terowong ini sejak 2011 lagi namun belum sedar dan hanya baru-baru ini kami terfikir ia berpotensi sebagai satu tarikan pelancong.

"Namun, sudah pasti kita perlu sediakan infrastruktur yang lebih selesa untuk aktiviti pelancongan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika lawatan ke tapak terowong Jepun peninggalan Perang Dunia Kedua di sini pada Rabu.

Joannes berkata empat terowong yang dilawati itu terletak di belakang Dewan Masyarakat Bandaraya Kota Kinabalu dan bukit Kampung Kopungit.

Namun katanya masih belum ada maklumat atau dokumentasi mengenai terowong berkenaan.

"Justeru, kami bekerjasama dengan Muzium Sabah untuk mencari maklumat yang berkaitan. Buat ketika ini, kami masih lagi mencari fakta dan menilai terowong ini," jelasnya.

Sementara itu, Joannes berkata pihaknya akan berbincang dengan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam sekitar serta Lembaga Pelancongan Sabah (STB) untuk mencari kaedah memajukan kawasan berkenaan.

Turut hadir ialah Pengarah Muzium Sabah Mansur Asan.
 

  • oleh
  • Advertisement