Anda di sini

Dasar pelesenan halang warga asing tangkap bubuk

Advertisement

JPLS hanya mengeluarkan permit peralatan subor kepada nelayan tradisi yang miliki lesen vesel, peralatan masih sah

 Belayong pada sesi taklimat mengenai pelaksanaan Dasar Pelesenan Peralatan Tambahan Menangkap Ikan Pukat Subor di Pejabat Perikanan Laut Wilayah III Miri, semalam.
KAWAL SUMBER: Belayong pada sesi taklimat mengenai pelaksanaan Dasar Pelesenan Peralatan Tambahan Menangkap Ikan Pukat Subor di Pejabat Perikanan Laut Wilayah III Miri, semalam.

MIRI: Tiada warga asing termasuk rakyat Suluk dapat menangkap udang baring atau bubuk berikutan pelaksanaan dasar pelesenan peralatan tambahan menangkap ikan pukat subor berkuat kuasa Mac ini.

Pengarah Jabatan Perikanan Laut Sarawak (JPLS) Belayong Nyuak berkata, pihaknya hanya mengeluarkan permit peralatan sobor kepada nelayan tradisi yang mempunyai lesen vesel dan peralatan menangkap ikan yang masih sah.

Menurut Belayong, secara umum jumlah pendaratan bubuk di Miri menurun kepada hanya 709 tan metrik pada 2017 berbanding lebih 2,000 tan metrik pada 2016.

Kita mesti seimbangkan jumlah pendaratan bubuk kerana bimbang sumber ini akan pupus jika tidak dikawal.

Miri merupakan kawasan paling penting kerana bubuk banyak terdapat di perairan Miri selain Bintulu.

Justeru penguatkuasaan permit ini diharap dapat mengatasi kegiatan penangkapan secara berleluasa terutama  dalam kalangan nelayan tidak berlesen,” katanya.

Bagi kawasan Miri, dianggarkan sebanyak 72 vesel berlesen berdasarkan pangkalan iaitu Kampung Piasau Utara (20), Kampung Pulau Melayu (3), Kampung Pangkalan Lutong (Batu Satu Lutong - 20), Kampung Wireless (2), Kampung Kuala Bakam (10), Kampung Bungai (3), Kampung Kuala Sibuti (3), Kampung Kuala Niah (2) dan Kampung Kuala Suai (9).

Belayong berkata, permit ini sah untuk satu musim bubuk tertakluk kepada tempoh yang ditetapkan kecuali dibatal atau digantung, di mana bagi kawasan Miri, musim pertama tahun ini ialah Mac hingga Jun.

Setiap permit dikenakan yuran RM1 satu musim dan setiap pemilik vesel hendaklah menghantar laporan data pendaratan bubuk secara bulanan pada penghujung setiap musim permit untuk tujuan rekod pendaratan.

Pelaksanaan permit ini bukan untuk menyusahkan rakyat, namun ia bertujuan mengawal sumber daripada pupus disebabkan pendaratan bubuk yang berlebihan setiap musim.

Justeru, saya berharap pemilik bot berlesen ini memohon permit secepat mungkin bagi mengelakkan sebarang masalah,” katanya semasa Sesi Dialog bersama nelayan sempena pelaksanaan Dasar Pelesenan Peralatan Tambahan Menangkap Ikan Pukat Subor di Pejabat Perikanan Laut Wilayah III Miri, semalam.

Antara syarat pengeluaran permit ialah vesel mesti berukuran tidak kurang enam meter dan tidak melebihi 15 meter dengan had maksimum kuasa kuda enjin 140, sampan hendaklah mengambil bekalan atau memunggah hasil tangkapan di pangkalan yang ditetapkan dalam buku lesen sahaja.

Manakala kawasan operasi yang dibenarkan ialah di kawasan perairan yang melebihi 0.2 batu nautika dari pantai daerah Miri di antara batasan Kuala Baram dan di daerah Bintulu antara batasan Kuala Tatau.

Belayong menambah, hanya bahan kerangka diperbuat daripada kayu atau buluh dibenarkan.

Hadir sama Ketua Unit Perlindungan Sumber, Bahagian Pengurusan dan Pemuliharaan Sumber Jabatan Perikanan Laut Sarawak Fairol Tajudin Suhaili dan Pegawai Perikanan Daerah Miri Buniamin Kiprawi.

  • oleh
  • Advertisement