Anda di sini

Usul persempadanan semula kawasan pilihan raya dibentang di Dewan Rakyat sahaja

Advertisement
 

PUTRAJAYA: Usul persempadanan semula kawasan pilihan raya akan dibentangkan di Dewan Rakyat sahaja dan tidak perlu ke peringkat Dewan Negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (gambar). 

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata usul yang akan dibentangkan Ketua Majlis Parlimen untuk dibahaskan itu hanya memerlukan majoriti mudah iaitu 111 daripada 220 anggota Parlimen  selepas dua anggota Parlimen meninggal dunia.

Anggota Parlimen Jelebu Datuk Zainudin Ismail meninggal dunia Disember tahun lepas manakala anggota Parlimen Paya Besar Datuk Seri Abdul Manan Ismail meninggal dunia bulan lepas.

“Jadi saya yakin BN akan mendapat lebih daripada itu kerana BN mempunyai 132 anggota Parlimen. 

“Sebaik usul itu diluluskan di Dewan Rakyat dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk diwartakan. Ini adalah usul maka ia tidak perlu dibawa ke Dewan Negara,” katanya pada Majlis Makan Tengah Hari Bersama Ketua-Ketua Pengarang dan Pemegang Permit Penerbitan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini  hari ini. 

Ahmad  Zahid yang juga Ketua Whip Barisan Nasional (BN) berkata Parlimen akan bersidang sehingga 5 April manakala Dewan Negara akan bersidang mulai 16 hingga 30 April.

Ahmad Zahid berkata usul persempadanan semula kawasan pilihan raya akan dibentangkan selepas titah Yang di-Pertuan Agong selesai dibahaskan dan akta-akta lain dibentangkan termasuk Rang Undang-Undang Pembekalan Tambahan. 

“Itu sahaja yang saya boleh beritahu. Ini adalah maklumat rasmi yang kita ketahui, tarikh pembubaran saya tidak tahu, tarikh mengundi pun saya tidak tahu,” katanya.

Sabtu lalu, Ahmad Zahid berkata kerajaan masih belum menetapkan tarikh membentangkan usul persempadanan semula kawasan pilihan raya. 

Beliau akan mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia bagi membincangkan tarikh pembentangan. 

Hadir sama pada majlis itu termasuk Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed, Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Alwi Ibrahim, Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Azman Ujang dan Pengurus Besar Bernama Datuk Zulkefli Salleh. - BERNAMA 

Advertisement