Anda di sini

SIP merekodkan caruman RM36.8 juta

Advertisement
 Aseh (tiga kiri) bersama Zainol (kiri) pada sesi lawatan di sekitar PERKESO Negeri Selangor semalam. — Gambar Bernama
TINJAU: Aseh (tiga kiri) bersama Zainol (kiri) pada sesi lawatan di sekitar PERKESO Negeri Selangor semalam. — Gambar Bernama

PETALING JAYA: Sistem Insurans Pekerjaan (SIP), yang dilaksanakan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), berkuat  kuasa 1 Jan tahun ini, merekodkan kutipan caruman sebanyak RM36.8 juta, setakat 9 Mac.

Pengerusi PERKESO Tan Sri Dr Aseh Che Mat, berkata jumlah kutipan itu melibatkan 292,250 majikan seluruh negara.

Pertambahan jumlah kutipan ini dilihat memberangsangkan memandangkan ia meningkat hampir sekali ganda dalam tempoh kurang sebulan, iaitu daripada RM19,922,407 pada 15 Februari lalu,“ katanya kepada pemberita pada program lawatan kerja di Wisma Perkeso di sini semalam.

SIP diperkenalkan sebagai jaringan keselamatan sosial bagi membantu golongan pekerja yang kehilangan pekerjaan untuk mendapatkan bantuan kewangan dan mencari pekerjaan baharu.

Aseh berkata sehingga kini sebanyak 3,068 pemohonan pembayaran SIP dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,650 pemohon telah menerima bayaran melibatkan RM 960,000.

Setiap penerima akan menerima bayaran RM600 yang diberi secara bulanan selama tiga bulan kepada pencarum untuk meringankan beban mereka sementara mendapat pekerjaan baharu,” katanya.

PERKESO sebelum ini dilaporkan menyasar kutipan SIP sebanyak RM479.5 juta, membabitkan 403,000 majikan dan 6.6 juta pekerja yang mencarum dengan PERKESO.

Semasa ditanya mengenai pertambahan jumlah bayaran SIP pada masa akan datang, Aseh berkata pencarum akan mendapat bayaran SIP sehingga 90 peratus daripada jumlah gaji mereka mulai Februari depan berikutan caruman telah mencapai tempoh matang. 

Terdahulu, Aseh menyerahkan cek dan alat pemulihan kepada lapan penerima faedah PERKESO termasuk tiga penerima SIP. — Bernama

Advertisement