Anda di sini

Semua terselamat dalam nahas bas

Skuad Miri FA tetap teruskan latihan persiapan suku akhir pertama menentang Rantau Panjang pada 24 Mac

 Sebastian Ting (sembilan kanan) bersama pegawai dan pemain Miri FA tiba di Lapangan Terbang Miri pagi semalam.
SEMANGAT KENTAL: Sebastian Ting (sembilan kanan) bersama pegawai dan pemain Miri FA tiba di Lapangan Terbang Miri pagi semalam.

MIRI: Skuad Miri FA akan meneruskan latihan dalam tempoh terdekat meskipun baharu mengalami nahas kemalangan jalan raya di Jalan Papar-Kimanis, kelmarin.

 Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Miri, Nazri Datuk Ahmad Lai berkata nahas terbabit tidak mematahkan semangat semua pemain dan pengurusan.

 “Semua pemain hanya mengalami kecederaan ringan dan mereka diberi tempoh rehat dua atau tiga hari sebelum memulakan latihan seperti biasa,” katanya.

 Nazri berkata, fokus utama ketika ini ialah mempersiap pasukan Miri FA menjelang perlawanan suku akhir pertama menentang Rantau Panjang pada 24 Mac ini.

 “Kita menganggap nahas ini sebagai dugaan kepada pengurusan dan pemain-pemain namun kita tidak boleh lupa perlawanan penting pada 24 Mac ini,” katanya.

 Nazri juga menolak kejadian itu ada unsur-unsur sabotaj dan menganggap tragedi terbabit mempunyai hikmah di sebaliknya.

 Skuad Miri FA tiba di Lapangan Terbang Miri semalam dan disambut oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau Datuk Sebastian Ting, Pegawai Daerah Miri Abdul Aziz Mohd Yusuff, Presiden Miri FA, Mohd Saif Jubaidi dan ahli-ahli keluarga pemain-pemain.

 Satu majlis ringkas doa selamat turut diadakan di balai ketibaan sebagai tanda kesyukuran semua pemain dan pengurusan Miri FA terselamat dalam nahas itu.

 Sebastian dalam ucapan ringkas bersyukur semua pegawai dan pemain Miri FA selamat dalam kemalangan terbabit.

 Pada masa sama, beliau berterima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah, Hospital Papar dan orang awam yang membantu mangsa kemalangan.

 “Saya terkejut mendengar berita kemalangan itu kelmarin dan terus berhubung dengan pengurusan Miri FA dan dimaklumkan mereka semua selamat,” katanya.

 Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi, seramai 20 pemain, lapan pegawai dan pemandu selamat dalam nahas terbabit.

 Difahamkan bas terbabit cuba mengelak melanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda di hadapan sebelum hilang kawalan.