Anda di sini

Polis siasat ancaman terhadap kakitangan veterinar

Advertisement

Polis akan menangkap individu yang terbabit sebaik sahaja mereka dikenal pasti, kata Dev

KUCHING: Polis sedang menyiasat laporan yang dibuat di Miri dan Kota Samarahan berhubung ancaman yang dikeluarkan dalam media sosial terhadap kakitangan veterinar yang menjalankan operasi anti-rabies.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak Datuk  Dev Kumar berkata pihaknya akan menangkap individu yang terbabit sebaik sahaja mereka dikenal pasti.

Justeru, beliau berkata ia jelas membuktikan bahawa polis tidak pernah mengabaikan laporan yang diterima berhubung ancaman terhadap kakitangan veterinar yang terlibat dalam operasi anti-rabies di negeri ini.

Malah, katanya ia telah dibuktikan apabila dua pengguna media sosial telah ditangkap polis di Padawan pada 7 Januari lalu kerana mengeluarkan ancaman terhadap kakitangan veterinar.

Setiap laporan yang dibuat terhadap kakitangan veterinar yang terlibat dalam operasi anti-rabies disiasat tanpa gagal.

Namun, kami hanya boleh mengambil tindakan sekiranya ancaman yang dikeluarkan bersifat jenayah,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Beliau menyatakan demikian bagi mengulas tuduhan terhadap polis yang dibuat Presiden Persatuan Veterinar Sarawak (PVS) Dr Chuo Hock Tieng menerusi akhbar, bahawa polis tidak pernah terlibat dalam melindungi pihak yang terbabit dalam operasi anti-rabies.

Dev juga menambah bahawa polis hanya akan menyediakan perlindungan keselamatan semasa operasi anti-rabies dengan syarat, permintaan perlu dibuat terlebih dahulu kepada Ketua Polis Daerah (KPD) yang terlibat.

Beliau menegaskan, polis tidak akan terlibat dalam operasi tersebut jika tiada permintaan daripada pihak-pihak yang terbabit termasuk Persatuan Veterinar Sarawak (PVS).

Sekiranya polis tidak dimaklumkan lebih awal dari mana-mana operasi anti-rabies, jangan salahkan kami jika berlaku kejadian tidak diingini,” katanya.

Sehubungan itu, Dev menjemput PVS mengadakan dialog dengan KPD bagi membincangkan isu-isu yang berbangkit secara baik.

Ini akan menjadi pendekatan yang masuk akal daripada menyerang polis di media,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement