Anda di sini

Permohonan lesen menerusi sistem BLESS dijangka meningkat akhir 2018

Advertisement
 Ahmad Zaki (tiga kiri) melihat pameran dari Malaysia- BIZ pada Pelancaran Program ‘Business Licenses Outreach’ (BLESS), semalam. Program tersebut memberi peluang kepada komuniti perniagaan di negeri Sabah berinteraksi secara dua hala dengan Pihak Berkuasa Melesen untuk mendapatkan bantuan mengenai perniagaan yang diceburi serta keperluan lesen. — Gambar Bernama
TERTARIK: Ahmad Zaki (tiga kiri) melihat pameran dari Malaysia- BIZ pada Pelancaran Program ‘Business Licenses Outreach’ (BLESS), semalam. Program tersebut memberi peluang kepada komuniti perniagaan di negeri Sabah berinteraksi secara dua hala dengan Pihak Berkuasa Melesen untuk mendapatkan bantuan mengenai perniagaan yang diceburi serta keperluan lesen. — Gambar Bernama

KOTA KINABALU: Jumlah transaksi permohonan lesen perniagaan menerusi Sistem Sokongan Elektronik Pelesenan Perniagaan (BLESS) di seluruh negara dijangka terus meningkat menjelang akhir tahun ini.

 Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zaki Ansore Mohd Yusof berkata ini selaras usaha untuk menambah 71 lagi lesen perniagaan kepada 285 pada akhir 2018.

 “Pada 2016, sistem BLESS telah mencatatkan sebanyak 81,344 transaksi permohonan lesen perniagaan manakala sejumlah 74,069 transaksi direkodkan pada 2017,” katanya ketika berucap merasmikan Program Business Licenses Outreach di sini semalam.

 Program dua hari mulai semalam, bertujuan menyediakan peluang kepada komuniti perniagaan di Sabah untuk berinteraksi secara bersemuka dengan pihak berkuasa usaha pelesenan bagi mendapatkan khidmat nasihat perniagaan serta keperluan lesen berkaitan.

 Beberapa pegawai Bahagian BLESS ICU turut menyertai program itu bagi membantu usaha semakan masalah teknikal bagi menyelesaikan isu dihadapi komuniti perniagaan di negeri ini.

 Mengulas selanjutnya, Ahmad Zaki berkata pembangunan sistem BLESS juga terbukti berjaya mentransformasi kaedah permohonan serta kelulusan lesen yang sukar dan memakan masa kepada platform secara dalam talian yang membabitkan tempoh lebih singkat.

 Dari segi usaha kerajaan menambah baik pelesenan pula, sejumlah 767 lesen dapat dikurangkan kepada 454 atau pengurangan sebanyak 41 peratus manakala 29 lagi dimansuhkan di peringkat Persekutuan.

 “Di peringkat negeri pula, jumlah pengurangan lesennya 1,915 daripada 2,659 lesen iaitu pengurangan sebanyak 28 peratus,” katanya.

 Ahmad Zaki berkat a komitmen pegawai barisan hadapan pihak berkuasa pelesenan adalah memberi khidmat nasihat dalam syarat permohonan lesen; prosedur permohonan dalam sistem BLESS dan menyelesaikan isu dihadapi pelanggan secara lebih pantas bagi memudah cara proses permohonan.

 “Agenda pemodenan pengurusan pelesenan perniagaan perlu diteruskan lagi bagi memudah cara perniagaan di Malaysia.

 Justeru, kerjasama dan komitmen semua pihak amat diperlukan terutama pihak berkuasa melesen,” katanya. — Bernama

Advertisement