Anda di sini

Malaysia akan menjadi negara tua pada 2030: Rohani

Advertisement

15 peratus daripada jumlah populasi negara ini menjadi warga emas berumur 60 tahun dan ke atas

 Rohani menandatangani plak sebagai simbolik perasmian Pusat Aktiviti Warga Emas di Lundu semalam. Turut kelihatan Jamilah (kanan).
RASMI: Rohani menandatangani plak sebagai simbolik perasmian Pusat Aktiviti Warga Emas di Lundu semalam. Turut kelihatan Jamilah (kanan).

KUCHING: Malaysia akan menjadi sebuah negara tua pada 2030 apabila 15 peratus daripada jumlah populasinya menjadi warga emas berumur 60 tahun dan ke atas.

Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Komuniti Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata pada 2014, populasi Malaysia adalah 30.10 juta dan daripada jumlah itu, 2.65 juta atau 8.8 peratus adalah warga emas.

Sehubungan itu katanya, kementeriannya bertanggungjawab menyediakan khidmat kebajikan proaktif kepada golongan warga emas ini bagi memastikan kebajikan mereka terjaga.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada pembukaan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di Lundu dekat sini semalam.

Tambah Rohani, Sarawak merekodkan bilangan warga emas tertinggi iaitu 9.5 peratus atau 247,600 orang mengikut statistik jabatan pada 2014.

Berdasarkan itu, Malaysia katanya perlu bersiap sedia berhadapan dengan fenomena negara tua.

Kementerian katanya, akan mengambil inisiatif untuk meneliti semula polisi melibatkan warga emas dan kesannya kerajaan telah meluluskan Dasar Warga Emas Negara (DWEN) dan Pelan Tindakan Warga Emas Negara pada 5 Januari 2011.

DWEN katanya, akan fokus kepada usaha kerajaan dalam mengeluarkan warga emas yang berdikari, aktif, proaktif dan produktif bagi membolehkan mereka terus menyumbang kepada pembangunan negara.

Sejak Disember 2017, seramai 34,764 warga emas telah mendaftar di PAWE di seluruh negara dan Sarawak mendaftar bilangan PAWE terbanyak di sembilan pusat.

Kerajaan merancang mewujudkan 222 PAWE dengan setiap kawasan Parlimen harus mempunyai sekurang-kurangnya sebuah pusat.

Saya harap dengan penubuhan PAWE di Lundu ini, warga emas akan menggunakannya dengan sepenuhnya dengan matlamat untuk memperbaiki kualiti hidup mereka,” katanya.

Pada pembukaan PAWE di Lundu semalam, Rohani turut memperuntukkan geran berjumlah RM33,330 kepada pusat tersebut bagi membiayai operasi mereka.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu Datuk Amar Jamilah Anu serta yang lain.

Advertisement