Anda di sini

Lima warga asing antara 54 kaki judi ditahan minggu lalu

 Pelbagai peralatan judi haram yang dirampas.
BUKTI: Pelbagai peralatan judi haram yang dirampas.

KUCHING: Lima warga asing berusia 16 hingga 52 tahun adalah antara 54 kaki judi yang ditahan sepanjang minggu lalu kerana terlibat dalam aktiviti perjudian haram.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak Datuk Dev Kumar, kesemua mereka diberkas menerusi 40 serbuan yang dijalankan di 14 daerah di negeri ini oleh sepasukan anggota polis daripada JSJ Sarawak mulai 5 hingga 11 Mac lalu.

Semua mereka ditahan dalam operasi yang dijalankan di premis menjual loteri haram, pusat judi dalam talian dan di tempat judi terbuka,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Dev berkata, kesemua serbuan itu dilakukan di daerah Kuching, Simunjan, Miri, Sibu, Kota Samarahan, Serian, Bintulu, Padawan, Mukah, Meradong, Sri Aman, Bau dan Julau.

Justeru, katanya hasil serbuan telah merampas pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk perjudian haram.

Polis juga merampas wang tunai sebanyak RM17,898 disyaki hasil kegiatan judi haram tersebut,” katanya.

Katanya kesemua individu terbabit kini ditahan reman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953.