Anda di sini

Kerajaan komited pastikan keselesaan anggota TLDM dan keluarga

 Hishammuddin (tiga kiri) merasmikan stesen minyak Petronas di Pangkalan Tentera Laut Sepanggar, Kota Kinabalu semalam. Turut memerhati Abdul Rahman (dua kiri). — Gambar Bernama
SIMBOLIK: Hishammuddin (tiga kiri) merasmikan stesen minyak Petronas di Pangkalan Tentera Laut Sepanggar, Kota Kinabalu semalam. Turut memerhati Abdul Rahman (dua kiri). — Gambar Bernama

SEPANGGAR: Peranan warga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara, khususnya di Sabah, akan terus dihargai, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan komited untuk memastikan keselesaan anggota dan keluarga anggota TLDM, dengan memastikan agendanya untuk warga ATM terus berjalan lancar.

Ini termasuk kebajikan, kesihatan, latihan, pendidikan dan perumahan, selain memberi perhatian kepada bebanan kos sara hidup dihadapi warga ATM, katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra bersama warga TLDM di sini semalam.

Pada majlis itu, Hishammuddin berkata pihaknya bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan akan mengusahakan sekurang-kurangnya RM5 juta bagi menyenggara kawasan perumahan dalam pangkalan TLDM Kota Kinabalu (PTKK) ini.

Beliau juga berkata, Abdul Rahman telah menyumbangkan RM10,000 kepada Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (Bakat) PTKK.

Hishammuddin berkata, atas komitmen dan kesungguhan anggota, khususnya di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu (PTKK) di Sepanggar, gandingan antara Mindef (Kementerian Pertahanan), pihak industri pertahanan dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama kepimpinan di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri mestilah ‘seamless’ (lancar dan berterusan).

Maknanya, hubungan mereka tidak boleh dipertikaikan dan tidak boleh dijualbeli kerana agenda kita sama iaitu untuk memastikan keselamatan dan pertahanan bumi Sabah ini,” kata beliau. 

Terdahulu, Hishammuddin merasmikan kiosk Petronas dalam pangkalan itu bagi memudahkan warga PTKK mengisi petrol kenderaan mereka.

Kiosk itu beroperasi di bawah Tabung Kebajikan PTKK sejak pertengahan bulan lepas.  

Selain menyediakan dua pam petrol, kiosk itu juga mempunyai Kedai Mesra.

Hishammuddin turut meninjau kemajuan projek membina semula sebuah jambatan sepanjang 52.7 meter bernilai RM13.5 juta di Kampung Gentisan di sini yang menghubungkan antara lain, PTKK. Bernama