Anda di sini

Hakisan ubah Pantai Tusan

Advertisement

Landskap pantai berdepan perubahan berikutan hakisan semakin teruk.

 Keadaan tebing pantai semakin terhakis dan memerlukan perhatian segera pihak berkuasa berkaitan.
PERBAIKI: Keadaan tebing pantai semakin terhakis dan memerlukan perhatian segera pihak berkuasa berkaitan.

MIRI: Landskap Pantai Tusan yang indah dan popular suatu ketika dahulu serta dikaitkan dengan fenomena ‘air mata biru’ kini berdepan dengan perubahan bentuk tebingnya berikutan hakisan semakin teruk sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Hakisan tersebut berlaku di beberapa kawasan tebing tinggi sepanjang pantai itu akibat pasang surut air laut dan ombak menghempas tebing-tebingnya sehingga meruntuhkan beberapa struktur tanah.

Malah, pengunjung ke pantai yang semakin terkenal itu kini berasa takut dan tidak kurang melahirkan kebimbangan dengan keadaan hakisan menjadi semakin buruk jika tiada tindakan segera daripada pihak berkuasa.

Seorang pelawat dari Miri, Ata Kassim berkata beliau amat sedih melihat tanah di tebing-tebing pantai itu terhakis hanya ditutup dengan plastik sahaja tanpa ada tanda-tanda akan diperbaiki.

Lokasi-lokasi terhakis itu hanya ditutup dengan plastik besar sahaja tanpa ada tanda-tanda mahu memperbaikinya atau menangani masalah hakisan tersebut.

Hakisan ini pasti terus berlaku dan langkah-langkah segera mesti diambil atau tanah di tebing pantai semakin terhakis dari semasa ke semasa," katanya di sini semalam.

Menurut Ata, laluan pejalan kaki sementara turun ke pantai masih dapat digunakan pengunjung terutama mereka yang mahu melihat monumen batu semula jadi menyerupai kepala seekor kuda sedang minum air selepas laluan asalnya rosak dihempas ombak.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar pihak berkuasa berkaitan membina tembok penahan ombak seperti dinding batu pendaki bagi memelihara tebing-tebing agar tidak terus dihakis ombak terutama ketika air pasang besar.

Beliau turut mencadangkan laluan kekal dibina sepanjang tebing pantai dari Tusan menuju ke Pantai Peliau yang bukan sahaja memberi pelancong pengalaman menikmati angin laut tetapi keindahan semula jadi landskap batu.

 "Pada masa ini, laluan yang ada hanyalah laluan kecil dibuat oleh penduduk setempat dari kedua-dua lokasi untuk memberi pelancong pengalaman berjalan atau mengembara dari Pantai Peliau menuju ke Pantai Tusan dan sebaliknya," ujar Ata.

Berkongsi pandangan sama, seorang pelancong dari Brunei, Habebah Mokti mahu supaya lebih banyak papan tanda menunjukkan lokasi-lokasi menarik di pantai tersebut terutama monumen batuan semula jadi yang terkenal dan indah.

Pada masa sama katanya, pihak berkuasa perlu menganjurkan lebih banyak sukan air di pantai tersebut bagi menarik lebih ramai pelancong.

"Pada masa ini tidak banyak dapat dilakukan di Pantai Tusan selain menikmati keindahan alam semula jadi, mengunjungi premis-premis makanan serta menyaksikan persembahan kumpulan pemuzik pada setiap Ahad.

"Fikirkan sesuatu yang dapat menarik lebih ramai pelancong menyaksikan keindahan Pantai Tusan selain menggalakkan lebih banyak nelayan keluar memancing hujung minggu dan kemudian menjual terus bekalan ikan segar kepada pengunjung," katanya. 

Beliau berkata usaha bersungguh-sungguh bukan sahaja perlu dilakukan pihak berkuasa tetapi juga Kementerian Pelancongan menjadikan Pantai Tusan sebagai salah satu pantai indah di Miri dan tersedia dengan kemudahan serba lengkap.

Sementara itu, pengusaha gerai-gerai makanan di Pantai Tusan juga berharap masalah hakisan tanah dapat ditangani dengan segera agar mereka dapat menjalankan perniagaan seperti biasa serta tidak kehilangan pegunjung dan pelanggan.

 Beginilah keadaan hakisan di Pantai Tusan yang hanya ditutup dengan plastik tanpa ada sebarang tanda membaikinya.
TERHAKIS: Beginilah keadaan hakisan di Pantai Tusan yang hanya ditutup dengan plastik tanpa ada sebarang tanda membaikinya.
  • oleh
  • Advertisement