Anda di sini

Dua dituduh buat tuntutan cari gali palsu hampir RM20 juta

 Yong (tengah) keluar dari Mahkamah Sesyen semalam selepas dihadapkan ke mahkamah atas tiga pertuduhan membuat tuntutan yang mengandungi butiran palsu dalam urusan kerja-kerja cari gali melibatkan wang berjumlah hampir RM20 juta, tiga tahun lalu. — Gambar Bernama
DIBICARAKAN: Yong (tengah) keluar dari Mahkamah Sesyen semalam selepas dihadapkan ke mahkamah atas tiga pertuduhan membuat tuntutan yang mengandungi butiran palsu dalam urusan kerja-kerja cari gali melibatkan wang berjumlah hampir RM20 juta, tiga tahun lalu. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengarah syarikat cari gali dan bekas pembantu teknikal Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB) didakwa secara bersama di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tiga pertuduhan membuat tuntutan mengandungi butiran palsu berhubung kerja-kerja cari gali melibatkan nilai hampir RM20 juta, tiga tahun lalu.

Yong Mee Lan, 54, dan Ahmad Ashraaf Kamarul Zaman, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Madihah Harullah.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, kedua-dua mereka didakwa dengan niat bersama telah memberikan kepada seorang ejen Saiful Adli Ismail iaitu Ketua Projek di PCSB melalui sistem SAP satu dokumen iaitu tuntutan ‘request order’ berjumlah RM14 juta yang mana prinsipalnya (Saiful Adli)  mempunyai kepentingan mengenainya dan mengandungi butiran palsu iaitu tuntutan untuk ‘Operation Day Rate” bagi tempoh kerja  antara 23 Jan 2015 dan 21 Feb 2015 yang bertujuan untuk mengelirukan  prinsipalnya.

Bagi pertuduhan ketiga, kedua-duanya didakwa melakukan perbuatan sama yang telah dikemukakan melalui ‘request order’ berjumlah RM6 juta antara 2 Feb 2015 dan 13 Mac 2015.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat PCSB di sini antara 24 Mac 2015 dan 20 April 2015.

Pendakwaan mengikut Seksyen 18 Akta Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohammad Heikal Ismail menawarkan jaminan RM1 juta bagi setiap tertuduh berserta seorang penjamin dan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Bagaimanapun Ahmad Ashraaf yang diwakili peguam Mohd Haziq Dhiyauddin Razali manakala tertuduh Yong yang diwakili peguam Mohd Fozi Md Zin memohon jaminan dikurangkan dengan alasan kedua-dua tertuduh perlu menanggung keluarga.

Kedua-dua tertuduh telah memberi kerjasama yang baik sepanjang siasatan dengan pihak SPRM,” kata kedua-dua peguam itu.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM500,000 masing-masing dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport perlu diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 16 April untuk sebutan semula kes. — Bernama

 Ahmad Ashraaf (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen semalam atas tiga pertuduhan membuat tuntutan yang mengandungi butiran palsu dalam urusan kerja-kerja cari gali melibatkan wang berjumlah hampir RM20 juta, tiga tahun lalu. — Gambar Bernama
KE MUKA PENGADILAN: Ahmad Ashraaf (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen semalam atas tiga pertuduhan membuat tuntutan yang mengandungi butiran palsu dalam urusan kerja-kerja cari gali melibatkan wang berjumlah hampir RM20 juta, tiga tahun lalu. — Gambar Bernama