Anda di sini

Pilihan raya kecil Hong Kong berlangsung tegang=

Advertisement
 Seorang penyokong membawa gambar Yu melintasi penyokong Cheng semasa pilihan raya kecil di Hong Kong, semalam. — Gambar Reuters
PILIHAN MASING-MASING: Seorang penyokong membawa gambar Yu melintasi penyokong Cheng semasa pilihan raya kecil di Hong Kong, semalam. — Gambar Reuters

HONG KONG: Aktivis muda paling terkenal di Hong Kong diganggu oleh nasionalis China dalam suasana tegang semalam ketika kem prodemokrasi di bandar raya itu cuba merampas semula kerusi yang hilang dalam pilihan raya kecil kontroversi.

Pemilihan semalam sekali lagi mendedahkan perpecahan politik yang mendalam di bandar raya tersebut dan diadakan ketika China mengambil pendirian yang semakin tegas terhadap sebarang cabaran kepada kedaulatannya.

Calon berprofil tinggi Agnes Chow tidak dibenarkan bertanding kerana partinya menggalakkan kuasa autonomi sepenuhnya bagi bandar raya dengan kuasa separa autonomi itu.

Sejurus selepas pusat undian dibuka, beberapa lelaki dan wanita mengganggu Chow selain dua aktivis prodemokrasi terkemuka Joshua Wong dan Nathan Law berhampiran sebuah pusat undian di mana mereka menyokong calon prodemokrasi Au Nok-hin, menurut seorang pemberita AFP di lokasi.

Salah seorang lelaki tersebut menerjah Wong, yang mengetuai demonstrasi besar-besaran pada 2014 untuk menuntut kebebasan demokratik yang lebih luas.

Pengkhianat dan anjing suruhan!” seorang lelaki berulang kali menjerit manakala orang lain melemparkan kata-kata lucah berkali-kali.

Wong memberitahu pemberita bahawa ancaman kepada kebebasan di bandar raya itu “membuktikan ia adalah lebih perlu bagi kita untuk mengundi”.

Beijing semakin berang dengan kemunculan aktivis yang mendukung kemerdekaan dan menganggap seruan bagi kuasa autonomi sebagai sebahagian daripada usaha pemisahan yang berbahaya.

Pilihan raya kecil itu tercetus selepas Beijing memaksa pembatalan bagi kelayakan enam penggubal undang-undang yang memberontak selepas mereka memenangi kemenangan dalam pilihan tempatan pada 2016.

Ada yang merupakan bekas ketua protes, ada pula yang secara terbuka mendukung kemerdekaan. Semua disingkirkan dari jawatan mereka kerana memasukkan protes ke dalam lafaz ikrar jawatan mereka.

Empat daripada enam kerusi yang kosong dipertandingkan semalam.

Pilihan raya ini bukan hanya untuk memilih saya sebagai calon, ia juga untuk mengundi bagi keadilan,” kata Au, yang mengambil alih untuk bertanding bagi kerusi Pulau Hong Kong selepas Agnes Chow tidak dibenarkan untuk bertanding.

Aktivis demokrasi amat marah dengan larangan ke atas Chow yang mereka sebut sebagai penapisan politik.

Kerusi itu pada asalnya dipegang oleh Law, juga seorang ketua protes pada 2014, yang merupakan antara enam penggubal undang-undang yang dibuang jawatan.

Namun ahli politik prokerajaan, Judy Chan, yang bertanding menentang Au, menggambarkan pembangkang sebagai menghasut “keganasan dan penentangan”.

Pilihan raya kecil ini adalah peluang bagi majoriti senyap, yang bosan dengan tindakan mempolitikkan Hong Kong, yang membenci mereka yang memalukan negara, untuk tampil dan memberitahu ahli politik ini bahawa Hong Kong tidak ada ruang bagi mereka,” kata Chan kepada AFP.

Kebanyakan orang pertama yang mengundi di sebuah balai undian yang dilawati AFP pada awal semalam adalah warga emas dan pengundi yang menyokong kerajaan pro-Beijing di bandar raya itu.

Saya tidak menentang demokrasi dan kebebasan, tetapi saya tidak dapat menerima kemerdekaan Hong Kong,” kata pengundi berusia 60 tahun, Chan Chik-sing, kepada AFP.

Namun orang lain berkata rakyat marah mengenai keadaan yang tidak sama rata.

Jika dasar kerajaan benar-benar begitu bagus dan disokong oleh rakyat, tahap kepuasan orang ramai dengan kerajaan tidak akan sentiasa merosot,” kata pengundi Lilian Leung, yang berusia dalam lingkungan lewat 30-an.

Enam penggubal undang-undang terbabit dilarang daripada menduduki kerusi mereka oleh Mahkamah Tinggi di Hong Kong selepas Beijing mengeluarkan “tafsiran” khas bagi perlembagaan mini bandar raya itu yang menetapkan penggubal perundangan mesti mengangkat sumpah “dengan serius dan ikhlas”, jika tidak mereka akan digantung.

Penggubal undang-undang prokemerdekaan telah memasukkan kata-kata kesat dan mengibar panji ‘Hong Kong is not China’ (Hong Kong bukan China) sewaktu mereka mengangkat sumpah. Ahli lain menambah ungkapan untuk menyokong pergerakan demokrasi.

Kem prodemokrasi semakin menerima tekanan sejak kegagalan Pergerakan Payung untuk memenangi pembaharuan politik, dan beberapa aktivis terkemuka telah dipenjara atas tuduhan yang ada kaitan dengan protes.

Hanya separuh daripada dewan perundangan dipilih rakyat, manakala bakinya dipilih oleh kumpulan berkepentingan yang biasanya prokerajaan.

Daripada 70 kerusi yang ada, kem demokrasi kini memegang 24, cukup untuk memegang kuasa satu pertiga yang diperlukan untuk mengenakan kuasa veto ke atas rang undang-undang penting.

Ia juga telah dikekang oleh peraturan baharu yang melarang ucapan berjela-jela yang lama, satu taktik yang disukai selama ini. — AFP

Advertisement