Anda di sini

Pemilihan Dewan Negara babak terakhir era keluarga Castro

Advertisement

Pemilihan presiden baharu pertama dalam sejarah 60 tahun Cuba

 Gambar fail 5 Mac lalu menunjukkan (dari kiri) Presiden Nicaragua mengiringi Castro dan Presiden Venezuela Nicolas Maduro semasa menghadiri persidangan di Caracas. — Gambar Reuters
DISEGANI: Gambar fail 5 Mac lalu menunjukkan (dari kiri) Presiden Nicaragua mengiringi Castro dan Presiden Venezuela Nicolas Maduro semasa menghadiri persidangan di Caracas. — Gambar Reuters

HAVANA: Cuba mengundi Dewan Negara baharu pada hari ini, satu langkah penting dalam proses ke arah pemilihan presiden baharu, yang pertama dalam tempoh hampir 60 tahun dari luar keluarga Castro.

Ahli baharu Dewan Negara akan ditugaskan untuk memilih pengganti kepada Presiden Raul Castro yang berusia 86 tahun apabila beliau berundur pada bulan depan.

Raul mengambil alih kuasa pada 2006 daripada abangnya yang uzur Fidel, yang telah memerintah sejak beliau merampas kuasa sewaktu revolusi 1959.

Lapan juta warga Cuba dijangka keluar mengundi untuk mengesahkan 605 calon bagi jumlah kerusi yang sama rata dalam Dewan, satu proses yang tidak menimbulkan ketegangan dan unik kepada negara pulau Caribbean yang diperintah oleh Parti Komunis Cuba.

Ia merupakan pilihan raya paling penting sejak beberapa tahun lalu kerana kami akan mengundi orang baharu yang akan memerintah selepas itu,” kata penjaga pusat penjagaan harian Ramon Perez kepada AFP.

Pilihan raya umum semalam adalah yang pertama sejak kematian Fidel Castro pada 2016, dan menandakan permulaan bagi perubahan besar di pucuk pimpinan Cuba.

Calon boleh jadi ahli Parti Komunis Cuba atau tidak, dan boleh jadi ahli kesatuan sekerja atau pelajar.

Pemilihan calon dibuat berdasarkan merit, keupayaan dan komitmen kepada rakyat,” kata Raul Castro ketika beliau mengumumkan pilihan raya itu pada tahun lepas.

Tidak ada orang menabur janji untuk mendapatkan undi, atau bercakap besar mengenai keupayaannya untuk mendapatkan sokongan. Ini adalah wajah sebenar dan luar biasa bagi apa yang kita dengan bangga panggil demokrasi sosialis,” tulis akhbar harian rasmi Granma.

Lebih separuh daripada calon-calon terbabit atau 322, adalah wanita.

Presiden Cuba dipilih oleh 31 ahli Majlis Negara, di mana ketuanya secara automatik adalah presiden negara.

Namun Majlis Negara terlebih dahulu perlu dipilih Dewan Negara.

Castro sudah mengumumkan beliau tidak akan bertanding untuk penggal baharu, tetapi dijangka terus menjadi ketua Parti Komunis yang berkuasa sehingga 2021.

Naib presiden pertamanya, Miguel Diaz-Canel, 57, dijangka menggantikannya dan komited untuk menjamin kesinambungan.

Dilahirkan selepas revolusi, Diaz-Canel, seorang jurutera, naik perlahan-lahan ke anak tangga teratas hirarki Cuba dalam karier tiga dekad di bawah bimbingan Raul.

Presiden Cuba tetap akan ada dalam proses mempertahankan revolusi,” katanya pada November lalu.

Jumlah pengundi dijangka sekitar 90 peratus.

Walaupun mengundi adalah sukarela, tidak mengundi adalah sesuatu yang tidak disenangi dan mengundi dianggap sebagai tindakan yang menunjukkan kedaulatan dan pengesahan revolusi.

Keputusan muktamad akan diketahui pada Isnin waktu tempatan.

Kritikan pembangkang terhadap proses itu berkisar sekitar hakikat bahawa presiden tidak dipilih dalam pilihan raya.

Penentang di Cuba, Rosa Maria Paya, dari pergerakan ‘Cuba Decide’, mahukan pungutan suara mengenai cadangan untuk mengubahsuai sistem kerajaan di pulau itu dan berkata kumpulannya akan mencari tanda bagi penolakan terhadap proses pilihan raya, di mana dalam realiti kita tidak dapat memilih sesiapa.

Rakyat Cuba yang mahu menunjukkan bantahan biasanya merosakkan undi mereka.

Pergerakan pembangkang Otro18 juga menuntut perubahan.

Warga negara tidak mengambil bahagian dalam pemilihan atau pilihan raya presiden dan kami rasa sekarang adalah waktu penentuan bagi rakyat untuk mengemukakan permintaan” bagi mengubah sistem pilihan raya, kata ketua Otro18, Manuel Costa Morua. — AFP

Advertisement