Anda di sini

Masyarakat perlu utamakan kesihatan

Advertisement
 Hamisa menerima cenderahati daripada penganjur.
TERIMA KASIH: Hamisa menerima cenderahati daripada penganjur.

TAWAU: Penjagaan kesihatan perlu bermula dari awal iaitu zaman kanak-kanak bagi memastikan tumbesaran seseorang itu berjalan dengan baik.

Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat, Datuk Hamisa Samat berkata penjagaan kesihatan bukan hanya bagi menjauhi seorang kanak-kanak daripada menghidap pelbagai penyakit, sebaliknya sebagai makanan tambahan atau suplemen yang diperlukan dalam tubuh.

Beliau berkata peranan ibu bapa penting dalam memastikan kesihatan kanak-kanak terpelihara selain menjamin kecergasan mental dan fizikal.

Penyakit seperti serangan jantung, kencing manis dan diabetes direkodkan membawa jumlah kematian yang lebih besar dalam masyarakat pada masa ini.

Melihat gaya hidup masyarakat kini, ada sesuatu yang perlu kita bimbang kerana perkara itu juga membawa kepada punca berlakunya penyakit selain faktor pemakanan dan genetik. Gaya hidup sihat dengan melakukan aktiviti riadah atau sukan semata-mata tidak mencukupi sekiranya orang ramai tidak mengetahui maklumat lain yang turut berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikan semasa merasmikan Program Larian 5K Sihat dan Cergas Zon Tawau di Kompleks Sukan Tawau, di sini pada Sabtu mewakiki Menteri Belia dan Sukan Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan.

Hamisa yang juga ADUN Tanjong Batu mengingatkan masyarakat supaya mengambil berat tahap kesihatan masing-masing.

Beliau bimbang orang ramai tidak sedar apa yang dilakukan serta gaya pemakanan mereka yang sebenarnya memberi implikasi terhadap tahap kesihatan masing-masing.

Justeru, program seperti Larian 5K ini amat wajar diteruskan bukan sahaja oleh kerajaan tetapi mendapat sokongan daripada pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Biarpun dianjurkan selama satu hari, tetapi apa yang penting adalah elemen serta pengisiannya yang memberi penekanan terhadap pentingnya pengetahuan berkaitan pemakanan dan gaya hidup,” tegasnya.

Katanya, menerusi program ini, kerajaan amat menggalakkan masyarakat mengamalkan budaya bersukan dan menitikberatkan keperluan menjaga kesihatan.

Hamisa berkata, bagi menggalakkan budaya sihat dan cergas, kerajaan negeri bersetuju menjadikan kegiatan larian dan berbasikal sebagai aktiviti sukan massa dan kecergasan yang akan merancakkan lagi sukan rekreasi, selain aktiviti kemasyarakatan terutama di daerah Tawau.

Masyarakat juga disaran supaya memanfaatkan sepenuhnya kemudahan sukan dan rekreasi yang disediakan kerajaan di kompleks sukan daerah di seluruh negeri,” katanya.

Advertisement