Anda di sini

Laluan LRT dikenal pasti

Advertisement
 Abang Johari dan isteri Datin Patinggi Dato Juma’ani Tuanku Bujang serta pemimpin dan ahli-ahli PBB pada Majlis Perasmian ‘3 Dalam 1’ Pergerakan Wanita PBB di Kuching, semalam.
PASTIKAN KEMENANGAN: Abang Johari dan isteri Datin Patinggi Dato Juma’ani Tuanku Bujang serta pemimpin dan ahli-ahli PBB pada Majlis Perasmian ‘3 Dalam 1’ Pergerakan Wanita PBB di Kuching, semalam.

Abang Johari umum laluan pembinaan LRT hujung bulan ini.

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg akan mengumumkan laluan bagi rancangan pembinaan Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) pada hujung bulan ini.

 Perkara itu dinyatakan beliau ketika berucap pada Majlis Perasmian ‘3 Dalam 1’ Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sebuah hotel di sini, semalam.

 Abang Johari menegaskan, LRT bukan ‘hot air’ dan beliau sebagai Presiden PBB pasti akan melaksanakannya.

 “Jangan risau, saya akan melaksanakannya di mana LRT ini nanti pasti akan membuka pembangunan negeri kita.

 “Memang DAP (Parti Tindakan Demokratik) kata saya ‘hot air’ tetapi ia bukan ‘hot air’,” katanya di hadapan lebih 200 ahli Pergerakan Wanita PBB pada majlis itu.

 Tambah Abang Johari, pembinaan LRT tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa, sebaliknya memerlukan perancangan teliti termasuk mengenal pasti laluannya.

 Dari sudut kos pula katanya, kerajaan negeri ada cara untuk mendapatkan dana menerusi Bank Pembangunan Sarawak (DBOS).

 “Sebagai permulaan, kita akan wujudkan jaringan LRT ini dalam Kuching dahulu.

 “Jika kosnya berpatutan, mungkin pemimpin generasi ketiga PBB boleh menyambung pembinaan LRT ini sehingga ke Sibu dan Miri,” katanya.

 Dalam ucapannya, Abang Johari turut mengingatkan ahli-ahli PBB agar memberi tumpuan kepada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan mengetepikan sementara halhal lain.

 “Kita mesti menyapu bersih semua kerusi PBB dan sekarang saya mahu kita semua memberi penekanan kepada persiapan PRU.

 “Aturkan perancangan dan kerahkan jentera di semua cawangan dan paling penting, sokong semua calon BN yang dipilih oleh Perdana Menteri,” tegasnya.

 Tambah Abang Johari, pada PRU14 nanti BN akan berhadapan dengan gabungan parti pembangkang.

 Bagaimanapun, beliau tetap yakin BN dapat menang lebih-lebih lagi di Sarawak.

  • oleh
  • Advertisement