Anda di sini

KM Sabah hebat kerana mampu menyatupadukan pelbagai etnik

Advertisement

Banyak negara bergolak kerana pemimpin gagal urus perbezaan etnik

KENINGAU: Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menyifatkan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman sebagai Ketua Menteri yang hebat kerana berjaya menyatupadukan semua etnik di negeri ini.

Katanya, banyak negara di dunia ini bergolak disebabkan pemimpinnya gagal mengurus perbezaan etnik, budaya dan agama.

Namun bukan di Sabah, Sabah bersatu padu, bersatu dalam kepelbagaian, saya ucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada pemimpin-pemimpin Sabah,”

Ini adalah contoh (terbaik) di dunia…dunia boleh belajar daripada orang Sabah dan juga orang Keningau,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan Malam Festival Kebudayaan Keningau Padalaman Atas 2018 di sini semalam.

Tajuddin berkata, satu daripada kelebihan yang terdapat di negeri Sabah khususnya di Keningau ialah daerah itu mempunyai kepelbagaian etnik, kebudayaan dan agama tetapi mereka hidup sebagai satu bangsa Malaysia yang bersatu padu.

Kualiti ini memberikan kestabilan kepada negeri dan negara…nilai ini tidak terdapat di mana-mana tempat dan negeri yang lain…rakyat Sabah dan khususnya di Keningaubenar-benar bersatu membuatkan saya benar-benar kagum dan bersyukur,” katanya.

Beliau memuji pemimpin-pemimpin di daerah ini khususnya ahli Dewan Undangan Negeri Liawan Datuk Sairin Karno, Ahli Parlimen Keningau Tan Sri Joseph Pairin Kitingan serta pemimpin-pemimpin lain di semua peringkat kerana berjaya membudayakan konsep perpaduan yang sebenar kepada rakyat di sini.

Sebanyak 23 tarian pelbagai etnik di seluruh negeri dipertandingkan sepanjang fastival itu yang disifatkan Tajuddin bukan lagi bertaraf negeri atau kebangsaan tetapi bertaraf antarabangsa.

Saya sangat berbangga menyaksikan persembahan-persembahan yang dipertandingkan…ini bukan bertaraf negeri atau kebangsaan…ini bertaraf dunia,” katanya.

Pada majlis itu Tajuddin turut menyumbangkan RM50,000 sebagai tanda penghargaan ke atas penganjuran festival bernilai tinggi itu. — Bernama

Advertisement