Anda di sini

Cuckoo Electronics rancang membina kilang bernilai RM100 juta di Malaysia

Advertisement

SEOUL: Pengeluar perkakasan rumah Korea Selatan, Cuckoo Electronics Co Ltd, merancang untuk membina kilang bernilai RM100 juta di Malaysia untuk menghasilkan produk penulen air.

 Pengembangan pembuatannya ke Pelabuhan Klang, Selangor akan merapatkan jurang permintaan susulan pertumbuhan pesat di Asia Tenggara dengan potensi pasarannya yang besar selain mengurangkan kos pengangkutannya.

 Bercakap kepada pemberita pada sambutan Ulang Tahun Ke-40 Cuckoo dari 4 hingga 10 Mac, 2018 di sini, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Brian Koo Bon Hak, berkata: “Kami menyemak hartanah dan menjalankan kajian daya maju.”

Mengenai masa depan, katanya syarikat yang menduduki tempat pertama bagi periuk nasi di Korea Selatan, dijangka membina dua kilang lain di Indonesia dan India untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

 Pada masa ini, ia mempunyai dua kilang yang terletak di Yangsan dan Siheung, Korea Selatan dengan jumlah kapasiti pengeluaran lebih 4.5 juta set setahun.

 Produk utama Cuckoo Electronics termasuklah periuk tekanan elektrik pelbagai fungsi, periuk nasi elektrik, penulen air, penapis udara, pelbagai induksi dan alat memasak.

 Sementara itu, Koo berkata, syarikat tersebut menyasarkan untuk meraih jualan sebanyak AS$1.5 bilion (AS$1 = RM3.91) pada tahun ini berbanding AS$760 juta tahun lepas, dengan menawarkan lebih banyak portfolio produk dan memasuki Vietnam, India dan Indonesia, untuk mencari pelanggan baharu.

 “Kami menambah banyak barisan produk seperti bukan sahaja periuk nasi dan penulen air tetapi juga pengisar, pelbagai induksi, penjagaan kesihatan dan penjagaan haiwan kesayangan.

 “Kami telah mengambil langkah untuk memperluaskan daripada satu pasaran kepada pasaran yang lain.

 Kami telah memulakan perniagaan di Malaysia sejak dua hingga tiga tahun yang lalu dan telah memulakan perniagaan di Brunei dan Singapura pada tahun lepas,” katanya.

 Cuckoo Electronics, untuk mempromosikan jenamanya, mengumumkan penyanyi dan pelakon Korea Selatan, Lee Seung-gi, telah menandatangani untuk menjadi duta globalnya yang baharu bagi semua produknya.

 Ini termasuk penulen air beralkali sederhana, periuk serbaguna dan penapis udara.

 Lee, yang terkenal melalui peranan utamanya dalam siri TV Korea popular, ‘A Korean’ akan muncul dalam kempen pengiklanan syarikat itu di Korea Selatan, Malaysia, Brunei, Singapura dan Indonesia.

 Bagi perniagaan di Asia Tenggara, Ketua Pegawai Eksekutif Cuckoo International (Malaysia) Sdn Bhd, Hoe Kian Choon, berkata beliau yakin untuk mencapai sasaran jualan sebanyak RM500 juta bagi 2018 berbanding RM208 juta pada tahun lepas.

 Syarikat itu akan menambah Brandstore dan Brandkiosk kepada 600 berbanding hanya 330 pada tahun lepas dan terus menawarkan perkhidmatan dengan kualiti yang terbaik kepada pelanggan.

 Beberapa penapis udara dan penulen air baharu serta dapur induksi akan diperkenalkan dalam tempoh beberapa bulan akan datang, katanya, sambil menambah aplikasi mudah alih bagi membolehkan pelanggan membuat temu janji bagi perkhidmatan penyelenggaraan produk mereka akan dilancarkan tidak lama lagi. — Bernama

Advertisement