Anda di sini

Buaya, ular ancam mangsa banjir di Queensland

Advertisement

BRISBANE: Jabatan Alam Sekitar Queensland mengeluarkan amaran buaya dan ular mungkin kelihatan di beberapa tempat yang tidak dijangka susulan hujan lebat dan banjir yang melanda utara Australia tersebut.

Menurut Daily Mail, sang bedal lazim kelihatan di utara Sungai Boyne ke sempadan antara Queensland dan Northern Territory.

Namun Jabatan Alam Sekitar dan Sains (DES) memberi amaran: “Buaya boleh bergerak ke arah hulu semasa pasang surut tinggi sepanjang tempoh banjir dan mungkin bergerak ke kawasan baharu dimana buaya tidak pernah kelihatan sebelum ini.”
 

Papan tanda amaran turut dipasang di kawasan buaya sering kelihatan, namun orang ramai perlu berwaspada apabila ia dijangka berada di perairan utara Queensland.

Laporan itu hari ini turut memetik The Crocwise dalam laman Facebook, yang menasihati orang ramai untuk terus berjaga-jaga meskipun buaya tidak kelihatan.

Sementara itu, Pengurus Urusan Hidupan Liar DES Utara Dr Matt Brien, dalam kenyataan akhbar berkata ular juga mungkin akan muncul di tempat-tempat tidak kelihatan.

“Jika anda ternampak ular, jangan cuba menangkapnya. Hubungi penangkap ular berlesen jika anda memerlukan bantuan.”

Buaya dan ular bukanlah satu-satunya haiwan yang muncul semasa banjir apabila rakaman video turut menunjukkan seekor Tarantula Australia berbisa, keluar meninggalkan sarang.

Advertisement