Anda di sini

Tragedi di Sungai Plaie

Advertisement
 Mayat mangsa diusung naik ke kenderaan polis untuk dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik HUS untuk dibedah siasat.
TRAGIK: Mayat mangsa diusung naik ke kenderaan polis untuk dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik HUS untuk dibedah siasat.
 Peni di sisi mayat kedua-dua anaknya.
MENYAYAT HATI: Peni di sisi mayat kedua-dua anaknya.

  Dua beradik mati lemas perahu terbalik dipukul angin kencang ketika hendak memancing udang.

KOTA SAMARAHAN: Keterujaan dua beradik untuk memancing udang bertukar tragedi mati lemas selepas perahu mereka terbalik akibat dipukul angin kencang di Sungai Plaie di sini, semalam.

Difahamkan, mangsa Mohd Hazim Nur Aiman, 13, dan abangnya Mohd Haziq Nur Aiman, 15, sepatutnya mengikuti aktiviti di sekolah, namun tidak hadir dan mengajak bapanya memancing udang.

Sumber memberitahu, bapa dua remaja terbabit, Peni Muhi yang mulanya merancang untuk memancing udang hari ini, namun bertukar fikiran dan bersetuju pulang ke kampung mereka semalam untuk tujuan itu.

Mereka sepatutnya bersekolah hari ini (semalam), tetapi kerana cuma ada aktiviti sukan, mereka enggan hadir dan terus mengajak bapa mereka untuk memancing udang yang sepatutnya esok (hari ini).

Dipercayai kerana ingin memenuhi permintaan kedua-dua anaknya, si bapa bersetuju membawa mereka memancing udang di Sungai Plaie.

Mereka tiba di tebing sungai sekitar jam 10 pagi dan terus turun ke sungai menggunakan perahu milik bapa saudara (abang bapa) mereka sebelum angin kencang melanda menyebabkan perahu tersebut terbalik sekitar tengah hari,” kata sumber.

Susulan insiden itu, tiga anak-beranak terbabit terjatuh ke dalam sungai.

Mujur beberapa nelayan yang menyedari kejadian itu segera menyelamatkan si bapa yang kemudian berusaha mencari kedua-dua mangsa.

Si bapa berjaya diselamatkan nelayan berdekatan, namun dua beradik terbabit terus hanyut,” kata sumber yang menambah, laporan telah dibuat kepada pihak bomba dan penyelamat untuk mendapatkan bantuan.

Penolong Pengarah Operasi Negeri Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Tiong Ling Hii yang mengesahkan laporan tersebut memberitahu, seramai sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan telah dikejarkan ke lokasi kejadian.

Komander operasi melaporkan mangsa pertama (Haziq) dijumpai pada jam 2.45 petang dan adiknya (Hazim) dijumpai pada jam 3 petang oleh penduduk kampung serta pihak bomba,” kata Tiong dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Tambahnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang turut disertai pihak polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) itu tamat sepenuhnya pada jam 3.20 petang.

Mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke masjid berdekatan sebelum diserahkan kepada pihak polis dan dirujuk ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat.

Mayat kedua-dua mangsa kemudian dihantar ke rumah keluarganya di Kampung Tanjung Tuang, Kota Samarahan untuk tindakan selanjutnya,” kata sumber.

  • oleh
  • Advertisement