Anda di sini

SMK Lutong, Miri muncul juara pertandingan ‘Access to Energy’

Advertisement

KUCHING: SMK Lutong, Miri semalam dinobatkan sebagai johan peringkat negeri pertandingan mencipta ‘Access to Energy’ anjuran Shell Malaysia sekali gus mewakili Sarawak ke peringkat kebangsaan pada April depan.

Pasukan SMK Lutong akan bersaing dengan sekolah-sekolah dari Sabah dan Semenanjung Malaysia pada peringkat kebangsaan bagi merebut hadiah lawatan sambil belajar ke London tajaan Shell Malaysia.

Pertandingan berkenaan disertai lima sekolah yang diadakan di Taman Permainan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Shell atau Shell STEM Playground di Pusat Konvensyen Borneo Kuching di sini sempena Pameran Latihan dan Kerjaya Sarawak (SCaT Fair) 2018.

Majlis pengumuman dan penyerahan replika kemenangan disampaikan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sempena lawatannya ke taman permainan STEM Shell, semalam.

Selain SMK Lutong, empat sekolah lain yang mengambil bahagian pada pertandingan berkenaan SMK St Joseph, Kuching; SMK Merbau, Miri; SMK Bintulu dan SMK Kidurong, Bintulu.

Kesemua sekolah berkenaan adalah antara sekolah yang terlibat dalam program #MyGeekMovement, di mana pelajar menyelidik cabaran ‘Access to Energy.’

#MyGeekMovement melatih pelajar untuk mendapatkan pengetahuan tentang dunia teknologi dan inovasi dan pada masa sama menjadi mencipta, bukan sekadar pengguna teknologi.

Menerusi #MyGeekMovement, pelajar akan terus mengembangkan kemahiran teknologi, kritis, kreatif dan inovatif serta dicabar untuk bekerja dalam pasukan dan menghasilkan penyelesaian kepada masalah dunia sebenar.

Advertisement