Anda di sini

Singapura akan mengesahkan perjanjian CPTPP secepatnya

Advertisement

Janji bekerjasama dengan rakan CPTPP untuk tingkat hidup rakyat

SINGAPURA: Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, berkata republik berkenaan akan mengesahkan perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang baharu ditandatangani, secepat mungkin.

 Dalam catatan terbaharu di laman Facebooknya semalam, Lee berkata, Singapura akan bekerjasama rapat dengan rakan CPTPP untuk menambah baik kehidupan semua rakyat.

 Pada 8 Mac, Singapura menandatangani versi semakan semula Perkongsian Trans- Pasifik (TPP) di Santiago, Chile, bersama-sama Australia, Brunei Darussalam, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru dan Vietnam.

 “CPTPP adalah satu kejayaan besar. Pada waktu meningkatnya semangat nasionalisme, perlindungan dan ancaman perang perdagangan, 11 negara terbabit menunjukkan kita tahu bagaimana untuk melaksanakan perjanjian menang-menang.

 “Saya amat berterima kasih kepada rakan kami di Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru dan Vietnam bagi komitmen mereka terhadap projek ini,” kata Lee.

 Katanya, Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, menyediakan kepimpinan dan cekap mengemudi CPTPP hingga ke garis penamat. — Bernama

Advertisement