Anda di sini

MFA yakin prospek industri perabot Muar jika larangan eksport kayu getah kekal

Advertisement

KUALA LUMPUR: Persatuan Perabot Muar (MFA) terus yakin dengan prospek industri perabot bandar itu, jika larangan eksport kayu getah dikekalkan, selain tenaga kerja yang mencukupi.

 Naib Presiden, Desmond Tan Boon Hai berkata dengan bahan mentah yang stabil, terutamanya kayu getah, peserta industri akan menjadi lebih mudah dan dijangka melabur lebih banyak untuk mengembangkan perniagaan mereka.

 Beliau berkata demikian kepada Bernama di luar pelancaran Pameran Perabot Antarabangsa Malaysia (MIFF) 2018 di sini, barubaru ini.

 Kerajaan telah menguatkuasakan larangan mengeksport kayu getah pada 1 Julai, 2017 untuk menyelesaikan masalah kekurangan bahan mentah yang dihadapi oleh industri perabot tempatan.

 Mengenai isu kekurangan tenaga kerja, kerajaan membekukan pengambilan pekerja asing ke Malaysia, termasuk dari Bangladesh pada Februari 2016 dan ini mencetuskan bantahan daripada kumpulan industri.

 Bagaimanapun, pembekuan pengambilan pekerja asing dalam sektor pembuatan, pembinaan, perladangan dan pembuatan perabot telah ditarik balik pada Mei tahun yang sama.

 Tan, yang juga Penasihat kepada Majlis Perabot Malaysia (MFC), menegaskan segmen tenaga kerja penting dalam industri perabot, terutamanya bagi bidang kemasan kayu dan walaupun pengeluar digalakkan melaksanakan automasi dan menggunakan teknologi jentera.

 “Sudah tentu, mereka perlu lebih berusaha bagi automasi dan mekanisasi. Bagaimanapun, jika kita hanya bergantung kepadanya, kita hanya boleh menghasilkan rangkaian produk yang amat rendah, berikutan produk buatan tangan mempunyai permintaan pasaran yang lebih baik,” katanya.

 Sementara itu, Tan berkata Taman Perindustrian Perabot Muar yang baharu di kawasan seluas 404.69 hektar dijangka meningkatkan pengeluaran perabot bandar itu sebanyak 20 peratus, apabila siap dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

 Muar merupakan hab perabot utama di Malaysia yang pada masa ini menyumbang kira-kira 60 peratus daripada jumlah eksport perabot negara.

 “Saya difahamkan semua kemudahan yang diperlukan, seperti kawasan untuk perkhidmatan kastam akan disediakan di taman perindustrian itu, dan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia, serta Majlis Perkayuan Malaysia juga akan menubuhkan pejabat dan makmal mereka untuk ujian kualiti di sana.

 “Oleh itu, dengan lebih banyak pengeluar dipindahkan ke sana, ia ternyata akan meningkatkan produktiviti. Pada masa ini, kebanyakan mereka masih beroperasi secara tidak sah di kawasan bukan perindustrian yang kurang lengkap,” kata Tan.

 Dibangunkan oleh syarikat pelaburan negeri, Johor Corporation Bhd, Taman Perindustrian Perabot Muar dipercayai akan menjadi yang terbesar di Asia Tenggara, dengan majlis pecah tanah diadakan baru-baru ini.

 Tan memaklumkan sebanyak 120 pengeluar akan ditempatkan di taman perindustrian itu, dan tidak menolak kemungkinan fasa kedua akan dibangunkan pada masa akan datang untuk menempatkan lebih banyak pengeluar.

 “Kebanyakan perabot yang dihasilkan di sana untuk eksport, manakala sebahagian pengeluar membekalkan komponen kepada pengeksport, atau memenuhi pasaran tempatan,” katanya.

 Tahun lepas, eksport produk perabot Malaysia mencatatkan sebanyak RM10.14 bilion, naik 6.4 peratus berbanding 2016.

 Daripada jumlah itu, eksport perabot kayu sebanyak RM8.1 bilion, menyumbang 80 peratus daripada jumlah nilai eksport, dengan kebanyakan diperbuat daripada kayu getah.

 Selain mengakui eksport perabot akan terjejas dengan peningkatan ringgit berbanding dolar AS, Tan, bagaimanapun, terus yakin peserta industri akan membuat penyesuaian untuk menangani senario ini.

 “Misalnya, mereka dijangka membangunkan rangkaian perabot dengan nilai tambah yang baharu, meningkatkan kualiti atau mengeluarkan rekaan lain untuk mengatasi keadaan itu,” katanya. — Bernama

Advertisement