Anda di sini

Kumpulan pertama pendaki sambung pendakian ke puncak Gunung Kinabalu

Advertisement

Penggantungan ditarik balik berikutan gempa bumi yang berlaku pada malam Khamis

KOTA KINABALU: Kumpulan pertama pendaki Malaysia memulakan pendakian mereka ke puncak Gunung Kinabalu setinggi 4,095 meter pada kira-kira jam 8.30 pagi semalam selepas penggantungan aktiviti mereka ditarik balik semalam berikutan gempa bumi yang berlaku pada malam Khamis.

Walaupun tidak dapat memastikan jumlah pendaki berkenaan, pengarah Sabah Parks Dr Jamili Nais berkata beliau bertuah kerana dapat bertemu kumpulan itu di Timpohon Gate, yang merupakan tempat memulakan pendakian, setelah bermalam di Panalaban, tempat persinggahan pada ketinggian 3,272 meter dari paras laut.

Cuaca tenang dan nyaman seperti malam tadi (kelmarin) juga. Hari yang cukup baik untuk mendaki dan menikmati pemandangan indah.

Saya pasti gunung ini tidak terjejas oleh gempa bumi yang berlaku. Tiada kerosakan besar dan rumah rehat di Panalaban juga terus berada dalam keadaan kukuh,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini semalam.

Jamili berkata beliau bersama-sama 17 stafnya membuat keputusan untuk bermalam di Panalaban setelah melakukan pemeriksaan terhadap laluan ke puncak gunung berkenaan bagi menilai kerosakan yang dialami selepas berlaku gempa bumi berukuran 5.2 magnitud.

Beliau gembira kerana kerosakan yang berlaku adalah kecil dan telah dibaiki dengan serta-merta.

Saya bersyukur dan berasa bertuah kerana dapat bermalam di Panalaban. Selalunya, ia dipenuhi manusia, termasuk pendaki. Tetapi, keadaan pada malam tadi (kelmarin) cukup mendamaikan,” katanya serta menjelaskan bahawa keadaan di situ lebih sejuk daripada biasa.

Menurut beliau, lazimnya, suhu di Panalaban ialah antara 11 dan 16 darjah Celcius, tetapi menurut anggaran, bacaan malam kelmarin di bawah 10 darjah Celcius.

Pada Khamis, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Masidi Manjun mengumumkan semua aktiviti mendaki di gunung itu digantung berikutan kejadian gempa bumi berukuran 5.2 magnitud di Ranau pada 9.06 malam.

Sebanyak 239 orang, termasuk 130 pendaki yang berada di Panalaban ketika itu, dibawa turun dengan bantuan anggota pasukan mencari dan menyelamat gunung (MOSAR) serta malim gunung pada malam berkenaan.

Tiada kecederaan dan kehilangan nyawa dilaporkan berikutan kejadian itu. — Bernama

Advertisement