Anda di sini

Kesedaran hadapi gempa bumi perlu diterap menerusi pendidikan

Advertisement
 Abdul Rahman (tengah) bersama ibu bapa selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Tebobon semalam. — Gambar Bernama
BERI KESEDARAN: Abdul Rahman (tengah) bersama ibu bapa selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Tebobon semalam. — Gambar Bernama

SEPANGGAR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata sudah tiba masanya kerajaan menerapkan kesedaran kepada masyarakat mengenai kejadian gempa bumi melalui pendidikan.

Beliau berkata penerapan kesedaran mengenai gempa bumi perlu bermula pada peringkat sekolah dengan mewujudkan modul untuk memberi kesedaran kepada pelajar.

Seperti yang kita tahu, modul mengenai kebakaran telah diwujudkan di sekolah dan kini tiba masanya modul mengenai gempa bumi diadakan kerana bencana itu bukan lagi perkara luar biasa di negara kita khususnya di Sabah.

Kerajaan perlu melihat keperluan itu (kesedaran gempa bumi) dan inisiatif untuk mewujudkan modul berkenaan agar kita tahu bagaimana dan apa yang harus dilakukan sekiranya berlaku gempa bumi,” katanya yang ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tobobon di sini, semalam.

Beliau berkata kesedaran mengenai bencana itu sangat penting untuk memastikan masyarakat khususnya pelajar tidak panik dan sentiasa bersiap sedia setiap masa serta mengetahui apa yang perlu dilakukan jika berlaku gempa bumi.

Pada masa sama, Abdul Rahman berkata rakyat Sabah khususnya penduduk di sekitar Gunung Kinabalu, perlu menerima hakikat bahawa kini insiden gempa bumi memang sering berlaku, cuma persoalannya bilakah ia akan berlaku dan berapakah kekuatan gempa itu.

Gempa bumi sederhana berukuran 5.2 pada skala Richter menggegarkan Ranau dan beberapa kawasan di pantai barat Sabah pada 9.06 malam Khamis lepas.

Mengenai kejadian itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Belud berkata pihaknya kini sedang menunggu laporan penuh daripada pegawai daerah mengenai kerosakan akibat gempa bumi itu.

Sekiranya ada kerosakan yang memerlukan bantuan segera kita akan terus salurkan,” katanya.

Terdahulu, ketika berucap pada majlis itu beliau mengumumkan peruntukan sebanyak RM500,000 untuk menaik taraf dewan SMK Tobobon. — Bernama

Advertisement