Anda di sini

Buruh maut dibaham harimau Sumatra

Advertisement
Harimau membunuh seorang lelaki di Indonesia, serangan berdarah kedua tahun ini. - Foto fail AFP
Harimau membunuh seorang lelaki di Indonesia, serangan berdarah kedua tahun ini. - Foto fail AFP

JAKARTA: Seorang lelaki Indonesia dibaham sehingga mati oleh seekor harimau Sumatra di sebuah perkampungan terpencil, kata pihak berkuasa pada Ahad, serangan berdarah kedua pada tahun ini.

Yusri Effendi, 34, dijumpai dengan luka yang membawa maut pada bahagian leher oleh rakan sekerja dan penduduk kampung tempatan di wilayah Riau di Pulau Sumatra pada petang kelmarin, kata agensi pemuliharaan tempatan.

Mangsa sedang membina sebuah bangunan untuk menarik burung walet yang menghasilkan sarang yang boleh dimakan di perkampungan Tanjung Simpang ketika harimau berkenaan mula berkeliaran di sekitar tapak pembinaan.

Beberapa jam selepas melihat kucing besar itu, Effendi dan tiga rakan sekerja – yang menyangka keadaan sudah selamat – bergegas berlari ke tempat selamat, hanya untuk bersemuka dengan haiwan itu tidak jauh dari sana.

Rakan-rakan Effendi, yang terselamat dalam insiden itu, memberitahu pihak berkuasa bahawa mereka berpecah untuk mengelak haiwan itu, tetapi mangsa tidak begitu bernasib baik.

Gerakan mencari menemukan mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri di tepi sebatang sungai tidak lama kemudian, kata pihak berkuasa.

“Apabila mereka membuka bajunya, mereka melihat luka dalam pada lehernya,” kata agensi pemuliharaan Riau dalam satu kenyataan.

Konflik antara manusia dengan haiwan biasa berlaku di kepulauan Indonesia, terutamanya di kawasan di mana kerja menebang hutan hujan untuk memberi laluan kepada ladang kelapa sawit memusnahkan habitat haiwan dan mendekatkan lagi mereka dengan manusia.

Pada awal bulan ini, penduduk tempatan dari perkampungan Hatupangan di Sumatra Utara membelah perut seekor harimau Sumatra dan kemudian menggantung kucing besar itu dari siling selepas ia menyerang dua penduduk kampung.

Harimau Sumatra dianggap diancam kepupusan yang serius oleh kumpulan pelindungan haiwan, Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi, dengan 400 hingga 500 ekor yang masih hidup di belantara. – AFP

Advertisement