Anda di sini

RM128 juta untuk pekebun kecil RISDA di Sabah

Advertisement

KENINGAU: Sejumlah RM128 juta bantuan pembangunan merangkumi program tanam semula getah ke getah, program pengembangan dan lain-lain diperuntukkan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) kepada pekebun kecil Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) di kawasan pedalaman di negeri ini.

Sementara untuk suku tahun pertama ini, sejumlah RM2.95 juta akan diperuntukkan lagi oleh KKLW kepada RISDA.

Senator Datuk Abdul Ghani Mohamad Yassin berkata, dengan adanya peruntukan dengan jumlah yang banyak jelas memperlihatkan keprihatinan kerajaan terhadap keperluan dan kebajikan para pekebun kecil dalam meningkatkan hasil pendapatan mereka, sekali gus membentuk komuniti luar bandar yang progresif dan sejahtera.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Kasihi Pekebun dan penyerahan Pakej Program Peningkatan Produktiviti Getah PPG RISDA di Kampung Magatang, di sini pada Khamis.

Sementara itu, Pengarah RISDA Maizal Hakiman Nawawi berkata bermula dari 2010 sehingga 2017, lebih 3,000 pekebun kecil RISDA yang berdaftar di kawasan pedalaman telah menerima manfaat melalui pelbagai bantuan melibatkan tanam semula getah seluas 11,000 hektar.

PPG ini telah diperkenalkan pada tahun 2007 lanjutan daripada program pengeluaran getah dalam Rancangan Malaysia Ke-8 dan diteruskan sehingga kini dalam memantapkan pengamalan teknologi getah matang selain memastikan penorehan mengikut pengesyoran,” katanya.

Para pekebun kecil yang menerima bantuan PPG pada program itu merakamkan terima kasih kepada pihak RISDA atas pelbagai bantuan yang diberikan dan berharap bantuan seumpamanya diteruskan dalam meningkatkan hasil pengeluaran getah serta pendapatan.

Pada program itu, seramai 37 pekebun kecil getah sekitar pedalaman masing-masing menerima bantuan berupa mangkuk susu getah, baja RISDA 4, dawai penyangkut, ‘coil spring’, set pisau dan sudu getah serta alat pengawal kecuraman yang bernilai RM19,500.

Advertisement