Anda di sini

Petronas perlu lantik kontraktor tempatan - Masing

Advertisement
 

MIRI: Kerajaan negeri akan memastikan Petronas melantik kontraktor tempatan dalam operasi mereka di Sarawak.

Timbalan Ketua Menteri Tan Dr James Jemut Masing (gambar) berkata, sebelum ini kebanyakan kontraktor Petronas adalah syarikat dari luar tetapi mempunyai pejabat di Sarawak.

Beliau berkata, tindakan Petronas melantik  kontraktor luar sebagai pemegang kontrak utama menyusahkan dan tidak membantu membangunkan kontraktor tempatan.

“Pejabat ada tetapi kakitangan tidak banyak dan ruang pejabat pula kosong. Kita  tahu muslihat mereka jadi jangan perbodohkan kita.”

“Saya tidak mahu lihat kontraktor tempatan mendapat tawaran kerja daripada pihak kedua (syarikat luar) seperti yang berlaku sebelum ini. Kamu (Petronas) adalah syarikat bertaraf antarabangsa, maka bertindaklah seperti syarikat antarabangsa,” katanya kepada media selepas merasmikan Konsortium Bumi Consultants & Services Sdn Bhd di Lutong hari ini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju Majang Renggi, Pengarah Urusan syarikat Ir Janang Bungsu dan Pengarah Sivil dan Struktur, Ir. David Sengalang.

Masing yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan Sarawak berkata, kontrak tersebut harus benar-benar diberikan kepada kontraktor tempatan, bukan hanya sekadar pada nama.

“Jangan lantik kontraktor utama yang tidak ada orang dan bukan orang tempatan. Kita mahu bangunkan kontraktor tempatan dan perkara ini bukan main-main,” katanya. 

Dalam pada itu Masing menegaskan manifesto Pakatan Harapan (PH) menuntut 20 peratus royalti minyak untuk negeri pengeluar minyak, sekiranya menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) sudah tidak relevan.

Katanya, kerajaan negeri sudah pun mendapat hak dan kuasa penuh terhadap pengeluaran minyak di Sarawak berikutan penubuhan syarikat milik kerajaan negeri, Petroleum Sarawak Berhad (PETROS).

 Justeru katanya, tuntutan 20 peratus royalti minyak itu tiada makna. 

“Sekarang semua syarikat minyak termasuk Petronas perlu mendapatkan kebenaran atau permit daripada kerajaan negeri dalam semua bentuk operasi berkaitan minyak dan gas di negeri ini.”

“Bagi saya, tuntutan 20 peratus itu sudah jauh ketinggalan dan mereka (PH) masih hidup di masa yang lalu. Grow uplah pembangkang, read your textlah,” tegas Masing.
 

  • oleh
  • Advertisement