Anda di sini

Hanya kerajaan bertanggungjawab mampu urus negara dengan baik

Advertisement

KOTA BELUD: Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menegaskan hanya kerajaan yang bertanggungjawab seperti Barisan Nasional (BN) mampu mengurus dan mentadbir negara dengan baik.

Beliau berkata negara yang ditadbir dengan baik seperti dilakukan BN yang menerajui  kerajaan sejak negara merdeka, manfaatnya dapat dinikmati oleh semua lapisan rakyat.

Terlalu banyak bantuan (langsung dan tidak langsung) dan secara meluas kerajaan berikan kepada rakyat. Ia bukan tugas mudah untuk dilakukan dan hanya boleh dilakukan oleh sebuah kerajaan yang bertanggungjawab.

Sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, harus menentukan bahawa negara kita ini aman damai dan harmoni. Kalau negara kita tidak aman damai, tidak ada kestabilannya, kita tidak boleh memberi tumpuan agar keperluan rakyat itu  diberi perhatian,” katanya semasa merasmikan majlis penyerahan  Bantuan Awal Persekolahan bagi murid Sekolah Kebangsaan Tempasuk 1 dekat sini semalam.

Justeru kerajaan yang bertanggungjawab harus menentukan terlebih dahulu bahawa negara dalam keadaan aman, damai dan stabil, katanya.

Salleh berkata negara yang aman dan stabil akan memberi ruang kepada kerajaan untuk membangunkan segala prasarana  asas seperti jalan raya, bekalan elektrik dan air bersih serta pendidikan berkualiti untuk  generasi masa depan negara.

Kalau kita lihat di negara-negara lain, ada kanak-kanak tidak dapat bersekolah, bilik darjah pun tidak ada, kena belajar di luar (tanpa kelas).Ini berlaku kerana keutamaan kerajaan di situ bukan memberi perhatian kepada pendidikan. Kita di Malaysia ini, alhamdulillah, peruntukan besar diberikan untuk menentukan anak-anak kita mendapat pendidikan terbaik,” katanya.

Beliau berkata dengan adanya rakyat yang berpendidikan dan penyediaan peluang pekerjaan oleh kerajaan hasil pengurusan negara dan ekonomi yang cekap, generasi akan datang mudah memperoleh pekerjaan seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara.

Salleh mengingatkan rakyat agar sentiasa melakukan yang terbaik dan bersatu padu bagi memastikan negara ini sentiasa dalam keadaan aman dan terpelihara dari segala bentuk ketidakstabilan.

Yang terbaik ialah menentukan supaya negara ditadbir oleh  kerajaan yang bertanggungjawab dan kunci segala-galanya adalah bersatu padu, kata Salleh.

Pada majlis berkenaan beliau mengumumkan bantuan RM20,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Tempasuk 1 untuk menyediakan ruang parkir sekolah. — Bernama

Advertisement