Anda di sini

Tetak rakan kerana cemburu

Advertisement
KEADAAN mangsa yang terlentang di lantai dapur selepas ditetak di bahagian muka dan perut.
KEADAAN mangsa yang terlentang di lantai dapur selepas ditetak di bahagian muka dan perut.

KOTA MARUDU: Seorang lelaki sanggup menetak rakannya akibat cemburu selepas mendengar dakwaan mangsa melakukan hubungan seks dengan kekasihnya..

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintenden Mohd Izaan Abdullah berkata kejadian awal berlaku apabila suspek berumur 50 tahun minum bersama mangsa dan isterinya serta ibu mertuanya di sebuah rumah di Kampung Longgom, Pitas, kira-kira jam 8.30 malam Khamis.

"Semasa sesi minum minuman keras itu, isteri mangsa didakwa bercerita kepada suspek berkenaan mangsa ada membuat hubungan seks dengan ibu mertuanya yang juga berhubungan sulit dengan suspek di ladang getah.

"Akibat cemburu dengan kenyataan itu, suspek bertindak memarahi mangsa sebelum berlakunya pergaduhan antara mereka," katanya.

Beliau berkata mangsa kemudian mengambil parang dan cuba menetak suspek sebelum berlakunya pergelutan antara mereka.

"Suspek berjaya merampas parang daripada mangsa dan mengejar mangsa sehingga ke bahagian dapur.

"Pada masa sama, isteri mangsa berlari keluar dari rumah untuk meminta pertolongan jiran berdekatan dan tiada sesiapa melihat apa seterusnya yang berlaku di dalam rumah terbabit," katanya.

Katanya, anak buah mangsa hanya melihat suspek keluar dari dapur dan dia membuang parang dari tangannya serta mendakwa mangsa dibunuh oleh dua lagi individu lain.

"Suspek kemudiannya melarikan diri dari pintu dapur dan isteri mangsa turut menghilangkan diri dan tidak balik ke rumah sehingga kini," katanya.

Tambahnya pihak hospital mengesahkan mangsa berusia 30 tahun meninggal dunia disebabkan pendarahan yang banyak akibat ditetak di bahagian muka dan perut.

"Pemeriksaan lanjut mendapati suspek pernah menjadi rakan sekerja dengan mangsa di ladang kelapa sawit di Pitas dan kerap datang ke rumah mangsa untuk minum minuman keras.

"Hasil maklumat daripada jiran mangsa mendakwa suspek mempunyai hubungan sulit dengan ibu mertua mangsa dan isteri mangsa turut didakwa seorang yang mempunyai masalah mental," katanya.

Menurutnya pihak polis masih menyiasat kes ini secara terperinci mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

  • oleh
  • Advertisement